Semua orang perlu ada fahaman terhadap agama lain - Dr Najmil
Wan Syamsul Amly
April 24, 2015 18:16 MYT
April 24, 2015 18:16 MYT
Semua orang perlu mempunyai fahaman terhadap agama lain untuk mengelakkan isu perselisihan yang boleh menyebabkan pergaduhan antara kaum.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kemajmukan kaum di negara ini menjadi asas untuk semua pihak perlu menjaga sensitiviti demi menjamin keamanan negara.
"Semua bangsa perlu memahami sensitiviti kaum. Hendak buat apa pun kena fikirkan sensitiviti hidup dalam pelbagai agama dan kaum.
"Sensitiviti bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, bukan hanya Melayu, Cina atau India yang perlu menjaganya.
"Kita harus berhati-hati demi memastikan orang muda kita tidak terpengaruh dan anak cucu kita tidak berdepan dengan ancaman pengaruh ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Dr Najmil mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan di sebuah portal yang menyifatkan kurangnya kefahaman dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap agama lain mungkin menjadi punca berlakunya bantahan penduduk di Taman Medan berhubung isu lambang salib yang dipasang pada gereja di tempat mereka.
Paul turut berpandangan, apa yang berlaku itu adalah satu sikap tidak betul di mana masyarakat di tempat itu cuba mengambil tindakan sendiri.
Katanya lagi, apa yang berlaku di Taman Medan merupakan satu perkara yang tidak sihat dan ia tidak seharusnya berlaku di negara ini.
Sebelum ini, Dr Najmil mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan dengan segera melucutkan kerakyatan blogger kontroversi, Alvin Tan yang mempersendakan azan dalam sebuah video di laman Facebooknya.
Tegasnya, tindakan biadab dan kurang ajar itu menimbulkan kemarahan penganut agama Islam sekali gus menyebabkan sensitiviti mengenai kesucian sesebuah agama dipermainkan begitu sahaja.
Dalam pada itu katanya, isu di Taman Medan harus dijadikan iktibar dan pengajaran kepada masyarakat lain di seluruh negara.
"Jadikan ia teladan, asasnya mudah, semua orang perlu hormat agama lain.
"Namun jika ada pihak yang masih berdegil, kerajaan boleh ambil keputusan untuk menjatuhkan hukuman untuk menyedarkan orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama. Bagaimanapun dalam isu di taman Medan, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) juga sudah mengklasifikasikan gereja itu sebagai tidak sah" ujarnya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri menjelaskan, kes bantahan penduduk terhadap lambang salib di Taman Medan menunjukkan bahawa Akta Hasutan wajar dikekal.
Kata Nancy, akta tersebut dapat menjadi perisai untuk mempertahan dan mengekal keharmonian serta perpaduan kaum di negara ini.