Semua negara perlukan pinjaman luar - Ahmad Zahid
Bernama
Mei 2, 2018 20:07 MYT
Mei 2, 2018 20:07 MYT
Semua negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat pasti memerlukan pinjaman kewangan dari luar bagi memastikan kelangsungan pelbagai projek pembangunan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata disebabkan pinjaman kewangan tersebut, terdapat negara yang mempunyai hutang luar negara yang lebih tinggi berbanding Malaysia.
"Mana-mana negara yang memerlukan pinjaman luar termasuk Amerika Syarikat juga ada 'foreign debt'. Jadi dalam perkara ini, dari segi kadarnya mereka mempunyai hutang luar negara berpuluh kali ganda tinggi daripada kita.
"Dari segi kedudukan oleh agensi penarafan antarabangsa seperti Moody dan Standard and Poor's, kita diberi pengiktirafan kategori A, berada di peringkat piawaian tinggi berbanding negara-negara lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kenduri Pusat Daerah Mengundi Zon Jambatan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Kampung Banang dekat Hutan Melintang hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, rakyat di negara ini perlu melihat rizab Bank Negara ketika ini yang bernilai RM108 bilion, jika hendak dibandingkan dengan nilai rizab pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.
"(Rizab negara) semasa zaman pemerintahan seorang bekas pemimpin negara yang memerintah selama 22 tahun lebih banyak peratusan hutangnya dan ketika itu rizab negara terlalu kecil iaitu cuma RM35 bilion," katanya.
Ahmad Zahid berharap rakyat di negara ini tidak terjebak dengan dakyah pembangkang yang sengaja memutarbelikan fakta mengenai hutang negara, lebih-lebih lagi semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 berlangsung.
"Memang ada (hutang negara) tetapi kita mampu membayarnya tetapi tidaklah sampai jadi bankrap. Mana mungkin boleh buat projek pembangunan, beri BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) serta laksanakan infrastruktur untuk rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi
#bantuan kewangan
#hutang luar
#kewangan
#pinjaman luar
#projek pembangunan
#rizab negara