Semua negara mesti bersatu atasi ancaman dalam talian berikutan penggunaan media sosial - Pakar

Bernama
September 6, 2024 18:31 MYT
Prof Taylor Owen (tengah) sewaktu menyampaikan syarahan bertajuk 'Canadian and International Model for Online Harms Governance' di sebuah acara di ibu negara hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Usaha kolektif dalam kalangan negara adalah penting untuk mewujudkan undang-undang dan peraturan menangani ancaman dalam talian yang semakin mengganggu kehidupan seharian berikutan penggunaan media sosial secara meluas.
Prof Taylor Owen dari McGill University, Kanada berkata walaupun setiap negara menghadapi cabaran berbeza dalam menangani isu ini, semua berdepan dengan ancaman yang sama kerana pengguna daripada pelbagai segmen masyarakat sangat bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat harian mereka.
"Kita semua menghadapi ancaman dalam talian yang sama dan saya fikir terdapat beberapa persamaan dalam penyelesaian dan dasar yang harus dilaksanakan.
"(Bagaimanapun), perbezaan khusus (antara negara) memerlukan perbincangan dan perbahasan domestik yang teliti untuk membentuk dasar ini," katanya semasa Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024.
Owen berkata demikian semasa menyampaikan syarahan bertajuk 'Canadian and International Model for Online Harms Governance' pada hari kedua persidangan itu, di sini hari ini.
Taylor turut menegaskan bahawa negara tempat syarikat media sosial beroperasi perlu bekerjasama dan mewujudkan undang-undang kawal selia yang serupa untuk memastikan pematuhan daripada syarikat media sosial.
"Platform dan syarikat yang kita bicarakan beroperasi merentasi sempadan, selalunya tanpa hukuman daripada bidang kuasa di seluruh dunia.
"Adalah menjadi tanggungjawab kolektif kerajaan-kerajaan untuk menentukan peraturan yang akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat ini. Jika kita belajar daripada satu sama lain dan menguatkuasakan peraturan serupa, kita mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk pematuhan korporat meningkat dengan ketara," katanya.
Owen juga menekankan bahawa peraturan media sosial perlu dikuatkuasakan secara seragam merentasi semua platform digital tanpa mengira negara asal syarikat.
"Ini adalah hujah untuk mengawal selia semua syarikat digital tanpa mengira dari mana mereka berasal. Terdapat keperluan untuk mengenakan peraturan yang sama kepada mereka semua. Saya tidak kisah jika WeChat atau Instagram beroperasi di Kanada, kedua-duanya perlu mengikut peraturan kami," katanya.
Seorang lagi penceramah, bekas Pemberi Maklumat Facebook Frances Haugen menegaskan kepentingan syarikat media sosial mempunyai wakil sah di setiap negara mereka beroperasi.
Beliau berkata ini akan memastikan isu yang dibangkitkan oleh pengguna atau kerajaan dimaklumkan dengan berkesan kepada pengurusan tertinggi syarikat.
Haugen memberi contoh krisis di Myanmar yang didakwanya diburukkan lagi oleh operasi maklumat.
"Pada masa itu Facebook hanya mempunyai seorang wakil yang boleh berbahasa Burma dan individu itu tidak mempunyai akses untuk memberikan maklumat dan maklum balas kepada pengurusan tertinggi pada masa berkenaan.
"Menggaji seorang wakil sah di setiap negara akan memastikan syarikat ini benar-benar mendengar kebimbangan tempatan. Saya percaya mesti ada saluran komunikasi rasmi," kata Haugen.
-- BERNAMA
#media sosial #keselamatan dalam talian #pengguna #undang-undang #taylor owen
;