Semua mayat telah dibawa keluar dari lokasi nahas
Bernama
April 4, 2015 00:54 MYT
April 4, 2015 00:54 MYT
Kesemua mayat mangsa nahas helikopter di sini dikeluarkan dari lokasi kejadian pada kira-kira 11.30 malam tadi sebelum terus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan mengenal pasti identiti.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata proses pencarian barangan peribadi dan mengeluarkan bangkai pesawat, akan diteruskan esok.
"Kawasan lokasi akan terus dikawal rapi oleh pasukan keselamatan sehingga semuanya selesai," katanya kepada pemberita di lokasi nahas di Kampung Sungai Pening di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Samah berkata satu pasukan khas merangkumi Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam dan Kementerian Pengangkutan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.
Menurutnya pasukan itu akan menjalankan siasatan terperinci dan rapi dari segenap aspek.
Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias tersenarai sebagai penumpang dalam helikopter itu, yang membawa enam orang termasuk juruterbang, yang terhempas pada kira-kira 4.55 petang.