Semua mangsa banjir di Sipitang, Sabah dibenar pulang

Bernama
Mei 22, 2022 04:45 MYT
Penduduk yang berpindah ke PPS Dewan Mini Mesapol, Sipitang, dihantar pulang ke rumah masing-masing semalam. - BERNAMA
SIPITANG: Kesemua 32 orang daripada 11 keluarga yang dipindahkan susulan banjir di Sipitang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan semalam memaklumkan sehubungan itu, pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Mini Mesapol di sini yang dibuka sejak petang Sabtu ditutup semalam.
"Tinjauan pihak berkuasa mendapati kawasan terkesan banjir yang melibatkan pemindahan penduduk telah pulih, justeru penduduk yang berpindah ke PPS Dewan Mini Mesapol dihantar pulang ke rumah masing-masing," menurut kenyataan itu.
Hujan lebat berterusan sejak Jumaat lepas menyebabkan paras air Sungai Mengalong dan Sungai Lukutan naik mendadak manakala limpahan air berlebihan menyebabkan 17 kampung berdekatan dinaiki air.
-- BERNAMA
#hujan lebat #PPS #banjir sabah #Sipitang
;