Semua jenis perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa di Pahang

Noraniza Kamsani
Jun 22, 2020 16:53 MYT
WAN ROSDY: Semua premis juga perlu mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai penutup hidung dan mulut sebelum masuk premis dan semasa berada dalam premis. - Gambar fail
Kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan semua jenis perniagaan beroperasi seperti biasa, tertakluk kepada waktu operasi bermula 7 pagi sehingga 12.00 tengah malam sahaja kecuali bagi sektor yang dibenarkan mengikut kelulusan lesen perniagaan asal.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, justeru itu, semua premis wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) asas normal baharu antaranya melaksanakan saringan setiap hari ke atas pekerja dan pelanggan bagi mengesan gejala COVID-19.
"Mana-mana yang bergejala atau demam melebihi 37.5 darjah Celsius tidak dibenarkan memasuki premis dan pekerja yang bergejala hendaklah dirujuk ke pusat perubatan.
"Merekod maklumat pekerja dan pelanggan melalui aplikasi MySejahtera atau MoveOn.my setiap kali operasi, mengekalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara pelanggan, meletakkan tanda notis dan papan tanda pematuhan SOP dalam premis dan elaksanakan proses pembersihan di dalam premis," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, semua premis juga perlu mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai penutup hidung dan mulut sebelum masuk premis dan semasa berada dalam premis.
"Kerajaan negeri juga bersetuju bahawa mana-mana syarat yang tidak dinyatakan secara khusus dalam SOP negeri adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan, serta akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
"Adalah diingatkan agar semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan. Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi penguatkuasa lain," katanya.
#COVID-19 #kerajaan negeri #menteri besar pahang #normal baharu #Pahang #perniagaan #SOP #Wan Rosdy Wan Ismail
;