Semua dokumen hutang negara perlu dibentang di Dewan Rakyat - Ku Li

Astro Awani
Mac 17, 2015 15:51 MYT
Semua dokumen berkaitan hutang negara perlu dibentangkan di Dewan Rakyat - Ku Li (Gambar: Fail)
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menuntut supaya semua dokumen berkaitan hutang negara dibentangkan di Dewan Rakyat.
Bekas Presiden parti Semangat 46 itu yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li berkata, rakyat berhak mengetahui mengenai ‘hutang sah’ kerajaan pada ketika ini.
"Sebagai Ahli Dewan Rakyat adalah menjadi tugas kita dan kita berhak untuk mendapat segala maklumat berkaitan dengan hutang tersebut.
"Kita juga bertanggungjawab untuk memastikan segala jaminan, instrumen kewangan dan letters of comfort yang membebankan rakyat jelata dengan hutang dibentangkan di Dewan yang mulia ini.
"Cara ini membolehkan kita menilai dengan penuh tanggungjawab sama ada wajar atau tidak rakyat terus dibebankan,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Ku Li berkata amalan kebiasaannya sejak dahulu adalah Dewan Rakyat akan sentiasa dimaklumkan berkenaan segala jenis jaminan dan instrumen kewangan yang dikeluarkan Putrajaya.
"Pada ingatan saya ini adalah perkara baharu, biasanya kita bentangkan segala-galanya, sama ada Surat Sokongan, Surat Jaminan, dan 'Letter Of Comfort'," katanya lagi.
#Dewan Rakyat #letters of comfort #Tengku Razaleigh Hamzah
;