Semua bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kelantan dibatalkan - Exco
Firdaus Azil
April 11, 2021 13:22 MYT
April 11, 2021 13:22 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan telah memutuskan untuk membatalkan kesemua bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri itu untuk tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Izani Husin melalui catatan di Facebooknya berkata, langkah itu perlu diambil sebagai usaha membendung penularan COVID-19.
Jelasnya lagi, Program Madinah Ramadan, yang sebelum ini dirangka bagi tujuan solat tarawih berjemaah, berbuka puasa dan sahur, serta majlis ilmu, akan ditukar menjadi pusat rawatan dan kuarantin COVID-19 berisiko rendah.
“Bazar Ramadan (dan) Bazar Aidilfitri seluruh Kelantan dibatalkan. Madinah Ramadan ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin COVID-19 Berisiko Rendah (CPRC).
“Ikhtiar demi membendung penularan COVID-19,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu lagi.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebelum ini dilaporkan berkata, Bazar Ramadan dibenarkan untuk beroperasi dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Selain had dua pelanggan sahaja dibenarkan untuk membeli juadah, jumlah gerai turut dihadkan mengikut tapak keluasan bazar sebagaimana garis panduan Majlis Keselamatan Negara.
Bagaimanapun semalam Kelantan telah merekodkan 171 kes baharu COVID-19, dan satu kluster baharu dicatatkan, iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian membabitkan komuniti kerja di Tumpat, Bachok, dan Kota Bharu.
#Bazar Ramadan
#bazar aidilfitri
#batal
#SOP
#Kota Bharu
#Majlis Keselamatan Negara
#COVID-19
#operasi
#Tumpat
#Madinah Ramadan
#keselamatan
#puasa
#menteri
#ADUN
#Exco
#Dr Izani Husin
#Ahmad Yakob
#hari raya