Semua backbencher disaran sertai Jawatankuasa Khas Parlimen - Speaker Dewan Rakyat
Umavathi Ramayah
Februari 8, 2023 14:59 MYT
Februari 8, 2023 14:59 MYT
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen yang tidak memegang sebarang jawatan eksekutif disaran untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, bagi tujuan itu, beliau sedia untuk menambah jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sedia ada kepada 13 jawatankuasa bagi memastikan penglibatan semua Ahli Parlimen backbencher.
"Saya mahu Ahli Parlimen backbencher sama ada dari kerajaan atau pembangkang berada dalam jawatankuasa khas ini, kamu (Ahli Parlimen) tak boleh mengadu yang kamu tidak ada masa untuk berdebat dalam dewan, kamu kena cemerlang dan menunjukkan prestasi dalam jawatankuasa yang dianggotai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis temu mesra Yang di-Pertua Dewan Rakyat bersama pengamal media tahun 2023 di Parlimen, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Johari menjelaskan, apabila Parlimen terbubar, Jawatankuasa Khas Parlimen turut terbubar.
Maka untuk menghidupkan semula jawankuasa itu, katanya, memerlukan perbincangan dan mesyuarat yang akan dipengerusikan beliau sendiri pada Isnin depan.
Tambah beliau, setiap jawatankuasa itu akan dianggotai lapan hingga 10 individu yang bukan dalam kalangan eksekutif.
"Mereka akan diberikan kakitangan dan peruntukan bagi setiap jawatankuasa khas, setiap jawatankuasa khas mungkin lapan hingga 10 orang tidak termasuk eksekutif," ujarnya.
Terdapat 222 Ahli Parlimen di mana backbencher merupakan mereka yang tidak memegang jawatan eksekutif iaitu menteri atau timbalan menteri.
Mesyuarat pertama Parlimen Ke-15 bakal membuka tirainya pada Isnin depan.