Semua aset, anggota APM Kelantan siap siaga hadapi Monsun Timur Laut
Bernama
November 8, 2023 08:30 MYT
November 8, 2023 08:30 MYT
KOTA BHARU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan sudah bersiap siaga menggerakkan semua asetnya, dalam menghadapi segala kemungkinan bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula bulan ini.
Pengarahnya Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata aset tersebut termasuk 70 buah bot, 17 buah kenderaan pacuan empat roda dan 12 buah lori, melibatkan kesemua 10 jajahan di negeri itu.
"Semua aset ini telah kita pastikan dapat berfungsi dalam keadaan yang baik melalui kerja-kerja pembaikian yang selesai kami jalankan sejak September lepas, diikuti pemeriksaan berkala.
"Kita mahukan semuanya dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekalutan, terutama di saat-saat penting termasuk jika berlaku bencana luar jangka," katanya kepada Bernama, di sini, semalam.
Mohd Adzhar berkata pembahagian aset tersebut akan ditentukan mengikut skala banjir yang telah dikenal pasti di seluruh jajahan Kelantan, terutama di Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.
Mohd Adzhar berkata APM juga telah memanggil semula anggota sukarelawannya yang berdaftar dengan agensi itu menjalani latihan kesiapsiagaan banjir, bagi tujuan mengukuhkan 970 orang keanggotaan yang sedia ada.
"Seramai 900 orang daripada kelompok ini, telah kita panggil untuk mengikuti semula latihan asas teknikal dan logistik bermula minggu lepas, dengan sesi pertama seramai 300 orang.
"Sesi latihan susulan akan terus diadakan meliputi pelbagai aspek persiapan, supaya mereka dapat membiasakan diri dan tidak kekok jika dipanggil menyertai operasi," katanya.
Sementara itu beliau berkata bilik gerakan bagi 10 jajahan negeri itu juga telah diaktifkan untuk beroperasi secara 24 jam.
"Kita akan menempatkan kira-kira 100 anggota bagi setiap jajahan, selain memaksimumkan masa kerja pejabat kepada 12 jam," katanya.
Beliau memaklumkan APM juga bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan lain, selain mewujudkan jaringan hubungan dengan komuniti setempat untuk memastikan setiap misi bantuan dan menyelamat mangsa, dapat dilaksanakan dengan berkesan dan pantas.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan masyarakat di kawasan berisiko agar memberi kerjasama serta patuh kepada arahan pihak berkuasa, sekiranya perlu berpindah demi keselamatan.
-- BERNAMA