Semua anggota tentera telah divaksin - Ismail Sabri
Astro Awani
Ogos 12, 2021 18:13 MYT
Ogos 12, 2021 18:13 MYT
KUANTAN: Kesemua 126,892 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah selesai menerima dua dos vaksin COVID-19.
Jumlah itu sekali gus mencapai status imuniti kelompok dalam kalangan anggota tentera merangkumi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Darat (TDM).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan berkata, usaha mencapai imuniti kelompok dalam kalangan anggota ATM itu adalah bagi memastikan sebarang penugasan serta eksesais ketenteraan dapat dijalankan tanpa sebarang risiko penularan COVID-19.
“Setakat hari ini, 95 peratus telah pun siap (divaksinasi)… (jumlah) itu bolah dianggap sebagai 100 peratus sebenarnya sebab tidak semua tentera kita berada di dalam kem setiap masa, ada yang bertugas di luar, ada yang (menjalani) kursus di luar negara yang belum pulang untuk divaksin.
“Jadi, secara keseluruhan boleh kita anggap semua tentera yang berada di dalam kem di seluruh negara telah divaksin. Sekarang, kita dalam proses untuk memberikan vaksinasi kepada keluarga mereka pula,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan eksesais Taming Sari 20/21 membabitkan penembakan peluru berpandu anti kapal, Exocet MM40 dan Exocet SM39 di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Tanjung Gelang, di sini, pada Khamis.
Tiga tembakan itu berhasil mengenai sasaran pada jarak 30 batu nautika dan 20 batu nautika yang dilancarkan oleh Kapal selam (TLDM), KD TUN RAZAK dan dua buah kapal TLDM iaitu KD LEKIU dan KD LEKIR.
Operasi selama Enam hari yang tamat pada hari ini membabitkan 1,080 anggota TLDM, TUDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Tambah Ismail Sabri, kejayaan penembakan kesemua peluru berpandu itu mengenai sasaran jelas membuktikan profesionalisma, keupayaan dan kesiagaan TLDM dalam mengendalikan aset pertahanan negara.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan (TLDM) dijangka menerima dua lagi kapal misi pesisir (LMS) menjelang penghujung tahun ini dari China.
Proses perolehan aset terbaharu TLDM itu juga dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan angkatan tentera menjaga kedaulatan perairan negara.
#Tentera Malaysia
#Angkatan Tentera Malaysia
#ATM
#Tentera Udara Diraja Malaysia
#Tentera Laut Diraja Malaysia
#Angkatan Tentera Darat
#Menteri Pertahanan
#Timbalan Perdana Menteri
#ismail sabri yaakob
#vaksinasi COVID-19