Semua anggota parlimen pembangkang akan angkat sumpah - Anwar

Bernama
Jun 20, 2013 10:04 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan bahawa kesemua 89 anggota Parlimen Pakatan Rakyat akan menghadiri majlis angkat sumpah di Parlimen, Isnin ini.
Ketua Pembangkang itu berkata bahawa kesemua mereka telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada majlis itu antara lain sebagai menghormati Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Beliau menafikan ura-ura bahawa mereka akan memboikot upacara tersebut.
Keputusan untuk menghadiri majlis angkat sumpah itu diumumkan oleh Anwar pada sidang media selepas beliau menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di sini.
Sebelum ini, terdapat ura-ura kononnya anggota Parlimen pembangkang terutamanya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memboikot majlis tersebut atas dakwaan tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum 5 Mei lepas.
Anwar juga berkata Pakatan Rakyat sebulat suara menamakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai calon bagi Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen penggal ke-13.
Katanya pencalonan itu telah dihantar kepada pihak Parlimen pada 10 Jun lepas.
"Alasannya kewibawaan dan rekod kerjaya Datuk Kadir selama ini, yang kita pasti akan jadikan Parlimen lebih bebas. Ini juga gambaran mahu memulihkan organisasi Parlimen supaya ia tak jadi gelanggang yang hanya memihak kepada satu pihak, sebab itu beliau dipilih walaupun dia bukan ahli mana-mana parti Pakatan Rakyat," dakwanya.
Anwar juga berkata Pakatan Rakyat juga bersetuju mencalonkan anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dari PAS sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Beliau turut mencadangkan dua jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen penggal ini diisi oleh wakil Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat setiap satu, selain mahu undian bagi kedua-dua jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dilakukan secara undi sulit.
Jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat sekarang disandang Tan Sri Pandikar Amin Mulia, manakala dua jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini dipegang Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee.
Jawatan Pandikar akan tamat tempoh Ahad ini dan undian pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan juga Timbalan Yang Dipertua akan dibuat sebelum upacara angkat sumpah anggota Dewan Rakyat pada hari yang sama.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa konsensus Pakatan Rakyat bersetuju mengekalkan beliau sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Sesi Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Selasa ini.
#angkat sumpah #Anwar Ibrahim #Pakatan Rakyat #Parlimen