Semua agensi diarah siap siaga hadapi gelombang banjir seterusnya - TPM
Nur Fazlizai Ali
Disember 22, 2022 14:20 MYT
Disember 22, 2022 14:20 MYT
KEMAMAN: Semua agensi berkaitan diarahkan untuk meningkatkan kesiapsiagaan masing-masing bagi mendepani gelombang banjir seterusnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu perlu bagi mengatasi masalah logistik yang mengganggu operasi menyelamat dan penghantaran bantuan makanan kepada mangsa banjir khususnya di kawasan terputus hubungan sebelum ini berulang.
Katanya, antara persediaan itu termasuk meningkatkan aset yang mencukupi bagi operasi memindahkan mangsa banjir dan menghantar bekalan makanan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Saya tidak dapat menjamin kerana terdapat permasalahan dari terputus hubungan, jalan-jalan yang boleh dilalui, tidak dapat dilalui.
“Tetapi semalam di Mesyuarat Jemaah Menteri saya telah meminta kementerian pertahanan untuk mobalisasikan trak di depo bekalan supaya dapat digerakkan di kawasan-kawasan yang sedia mengalami banjir dan kawasan-kawasan yang dijangka mengalami banjir supaya bekalan makanan, soal pengangkutan bot, seumpamanya dan soal kesihatan (dapat ditangani),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau banjir di Kampung Bukit Mentok, di sini pada Khamis.
Terdahulu kekurangan aset dan terputus hubungan dikenal pasti antara punca bekalan makanan lambat tiba di sesetengah pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.
Justeru kesiapsiagaan di peringkat optimum dilakukan dengan mengkoordinasi semua jabatan dan agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut mengingatkan penduduk agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca serta amaran daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).