Semua ADUN Pulau Pinang sumbang 30% gaji untuk Tabung COVID-19 negeri
Bernama
April 4, 2020 20:50 MYT
April 4, 2020 20:50 MYT
Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang termasuk pembangkang akan menyumbangkan sebanyak 30 peratus gaji mereka kepada Tabung COVID-19 negeri ini.
Ketua penyokong kerajaan (backbencher) negeri, Teh Lai Heng berkata, potongan itu selaras dengan usaha kerajaan negeri dalam menangani pandemik wabak COVID-19 serta pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Semua ADUN Pulau Pinang termasuk barisan ADUN pembangkang telah bersetuju untuk menyalurkan 30 peratus daripada gaji masing-masing ke dalam Tabung COVID-19 Pulau Pinang.
"Usaha ini merupakan inisiatif ADUN sendiri selepas pengumuman Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta barisan pimpinan Exco yang akan menyalurkan sebulan gaji kepada tabung sama pada 27 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor, hari ini.
Teh berkata, barisan ADUN di negeri ini turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri di atas peruntukan RM30,000 yang disalurkan kepada setiap ADUN di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang.
"Turut dihargai adalah sumbangan penutup hidung dan mulut dan kelengkapan lain untuk kegunaan serta keperluan komuniti setempat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) masing masing," katanya.
Beliau berkata, umumnya adalah diharapkan segala usaha serta inisiatif kerajaan negeri (membendung COVID-19) menerusi sumbangan 30 peratus gaji itu dapat dipertingkatkan. - BERNAMA
#30 peratus gaji
#ADUN
#Ahli Dewan Undangan Negeri
#COVID19
#perintah kawalan pergerakan
#pulau pinang
#sumbangan
#Tabung COVID-19