Semporna mulai terima pelancong China selepas COVID-19

Bernama
Mac 9, 2023 20:23 MYT
Semporna merupakan daerah yang selamat dikunjungi dan ESSCom mengawal keselamatan di perairan ESSZone. - Foto sipadan.com
SEMPORNA: Semporna yang terkenal dengan keindahan pulau, laut biru serta keunikan khazanah marin terus menjadi destinasi pilihan pelancong dari China selepas kerajaan republik itu membuka semula sempadan negaranya setelah tiga tahun ditutup akibat pandemik COVID-19.
Pengarah Borneo Divers Datuk Abdul Hajan Gurimbang berkata kemasukan pelancong antarabangsa ke Semporna meningkat dengan jangkaan kemasukan 2,000 pelancong China pada setiap hari selepas ini.
"Pelancong China mula ke Semporna, seperti Pulau Sipadan, Bohey Dulang, Pulau Mabul dan lain-lain, kami menerima 150 pelancong pertama (semalam) dari China selepas COVID-19 dan ini akan berterusan.
"Kemasukan pelancong antarabangsa ini akan meningkatkan lagi ekonomi tempatan termasuk memberi peluang kepada anak-anak Semporna khususnya pemain industri pelancongan, pemilik bot, penyelam selain membuka peluang pekerjaan," katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu menurutnya, tempahan di Borneo Divers Mabul Resort juga penuh sehingga hujung tahun ini dengan menerima tempahan 200 pelancong China setiap hari.
Abdul Hajan dalam pada itu berharap kerajaan dapat terus membantu pengusaha pelancongan dari segi aspek pembangunan kemudahan awam serta keselamatan.
Katanya lagi, Semporna merupakan daerah yang selamat dikunjungi dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengawal keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Sementara itu , Pengurus Besar Eksekutif D Zen MICE Travel Sdn Bhd Kenny Khan berkata terdapat banyak pertanyaan daripada warga China untuk kembali melancong ke Malaysia terutama Sabah, sejak Januari.
"Syarikat kami yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan Guangzhou, China menerima banyak permintaan. Contohnya pada Mei ini, di Pulau Sipadan kami mempunyai acara khas dalam perancangan iaitu 'perkahwinan dalam air' melibatkan 100 peserta dari China yang diadakan pada 20 Mei, dalam bahasa Cina 20 Mei bermaksud i love you atau wo ai ni.
"Kami pilih Borneo Divers Mabul Resort, ini adalah antara resort terbaik di Sabah, setiap kali kami datang. Kita juga boleh lihat Sabah yang berbeza setiap kali kita datang, kita lihat peningkatan, sebab itu pelancong sentiasa pilih Sabah," kata Kenny.
Kenny turut menyokong idea untuk mengadakan penerbangan terus dari Guangzhou, China ke Tawau, Sabah dengan berkata ia akan mengurangkan kos dan masa.
"Jika lebih banyak penerbangan terus, penerbangan antarabangsa dari Guangzhou ke Tawau, saya rasa ini adalah perubahan yang sangat besar bagi industri pelancongan kita dan juga akan memberi pemulihan besar selepas pandemik COVID-19 melanda dan kami menyasarkan lebih ramai pelancong berbanding pandemik sebelum ini.
-- BERNAMA
#COVID-19 #pelancongan #Semporna #ESSCom
;