Semporna dan Lahad Datu tenang selepas serangan hendap
Bernama
Mac 3, 2013 07:02 MYT
Mac 3, 2013 07:02 MYT
Suasana di Kampung Sri Jaya, Simunul dan kawasan tertentu di sini kelihatan tenang selepas enam anggota polis terbunuh dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di perkampungan atas
air itu, semalam.
Dalam kejadian itu, enam anggota kumpulan itu turut maut.
Tinjauan mendapati laluan masuk ke perkampungan itu dan kawasan sekitarnya dikawal oleh anggota tentera dan polis.
Pasukan keselamatan juga menasihatkan penduduk, yang masih tinggal di perkampungan itu, supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Keadaan di bandar Semporna pula tetap aman dan terkawal meskipun ia agak lengang berbanding situasi biasa.
Sementara itu, suasana di Lahad Datu juga dilaporkan tenang.
Dalam kejadian di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh dari wilayah selatan Filipina yang dikepung sejak 9 Feb lepas, menyebabkan dua anggota polis dan 12 anggota kumpulan itu terbunuh.