Sempena tahun baru 2019, Mufti WP kongsi tip membina cita-cita
Astro Awani
Januari 1, 2019 09:32 MYT
Januari 1, 2019 09:32 MYT
Ketika ada umat Islam yang mempertikaikan sambutan tahun baharu setiap kali munculnya tarikh 1 Januari, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang dikenali bersikap terbuka dan toleran, menulis mengenai cara-cara membina cita-cita.
Beliau menggariskan antara hasrat dan cita-cita yang boleh dijadikan panduan oleh masyarakat, termasuk membentuk peribadi soleh dan membina keluarga bahagia, masyarakat makmur serta negara merdeka.
"Dengan datangnya tahun baru, sudah tentu akan terdetik hajat dan cita-cita untuk digapai.
"Kami berpendapat adalah amat baik dan perlu untuk membina hala tuju, dengan keterbatasan masa yang kita miliki bagi mencapai hasrat tersebut," katanya menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Zulkifli menulis pada Isnin, ketika tahun 2018 hampir melabuhkan tirai dan fajar 2019 bakal terbit, banyak yang boleh diteladani daripada apa yang berlaku sepanjang tahun lalu.
"Banyak perkara yang dapat kita muhasabahkan dan post mortem bagi mengislahkan kehidupan yang mendatang dengan lebih cemerlang dan gemilang," katanya.
Beliau menyenaraikan beberapa cara untuk membina cita-cita, termasuk:
* Buat keputusan untuk tingkatkan tahap yang ingin dicapai
* Tulis impian dan cita-cita yang ingin dicapai
* Tempohkan cita-cita yang hendak dicapai
* Bersahabat dengan orang yang berjaya meraih cita-cita
Menurut Zulkifli, negara maju seperti beberapa negara Eropah di Barat serta Jepun dan Korea di Timur, adalah negara yang berusaha mencapai elemen good governance.
"Nilai-nilai kebebasan melalui demokrasi disuburkan, hak asasi manusia ditegakkan, gejala rasuah disifarkan, keadilan dan kedaulatan undang-undang dipupuk, nilai-nilai keperibadian yang baik cuba dibentuk dan sebagainya," katanya.
Bagaimanapun, kata Zulkifli, kesalahan negara maju tersebut adalah, mereka membina semua nilai itu berdasarkan penularan akal semata-mata tanpa bimbingan wahyu.
"Di situlah titik perbezaan antara kita (Islam) dengan mereka.
"Jika elemen ini disatukan dengan pancaran wahyu Ilahi dan Sunnah Nabawi, sudah tentu negara maju yang berpijak pada baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur akan menjelma dan kemakmurannya akan lebih terasa.
"Barat hanya ada baldatun toyyibah tanpa rabbun ghafur, malangnya kita langsung tidak punyai apa-apa. Baldatun Toyyibah tiada, malah rabbun ghafur amat jauh sekali," katanya.
Zulkifli turut mengambil contoh beberapa tokoh yang mempunyai cita-cita besar seperti Barack Obama, bekas presiden Amerika Syarikat, Bill Gates, pengasas Microsoft, Thomas Alva Edison dan Stephen Hawking.
Begitu juga, beliau menamakan, para ulama besar yang menyimpan hasrat dan cita-cita sedari kecil seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi, Ibnu Sina, Imam Izzuddin Ibn Abdissalam dan Umar Abdul Aziz.