Sempena Hari Pekerja, PM Anwar ulas isu semasa sepanjang 17 bulan mentadbir Malaysia

Firdaus Azil
Mei 1, 2024 17:02 MYT
Anwar berkata - “Insya-Allah, saya akan mengulas pelbagai perkara termasuk pengumuman Hari Pekerja serta isu-isu semasa". - Gambar FB Anwar Ibrahim.
PUTRAJAYA: Memasuki bulan Mei 2024, genap 17 bulan Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX), dan memimpin Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada parti-parti komponen yang dahulunya lawan kini menjadi kawan.
Mengangkat tema ‘Malaysia MADANI’ dan ‘Ekonomi MADANI’ sebagai hala tuju pentadbiran serta ekonomi beliau untuk menjadikan rakyat juga negara lebih sejahtera, pelbagai inisiatif dan dasar telah diperkenalkan.
Antara perkara utama yang dititikberatkan ialah kestabilan politik, reformasi terhadap dasar-dasar kerajaan termasuk ekonomi bagi memastikan ia lebih relevan, serta penyatupaduan dalam kalangan rakyat.
Memasuki tahun kedua pentadbirannya, Perdana Menteri telah memperkenalkan beberapa langkah besar termasuk reformasi ekonomi melalui penstrukturan semula subsidi kepada golongan yang lebih bersasar, Kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat.
Selain itu Anwar juga dilihat menitikberatkan pengurusan fiskal negara yang lebih berhemah, termasuk penstrukturan semula tenaga, bahan api dan diesel, termasuk bantuan kewangan.
Beberapa dasar melibatkan sektor pekerjaan juga telah diperkenal semula antara lain Dasar Gaji Progresif, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), sebagai usaha menyuburkan ekonomi negara melalui kaedah yang pelbagai dan mampan.

Saksikan Program Soal Jawab Perdana Menteri di semua saluran media tempatan pada jam 9.00 malam ini. Insya-Allah, saya akan mengulas pelbagai perkara termasuk pengumuman Hari Pekerja serta isu-isu semasa yang mendepani rakyat dan negara.#MalaysiaMADANI pic.twitter.com/ClgKixufFQ

— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) May 1, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terbaharu, pada 1 Mei 2024, Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig, dan kenaikan pekerja gaji awam melebihi 13 peratus dengan peruntukan RM10 bilion, satu jumlah yang melebihi kadar kenaikan pada era mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Namun sudah pasti dalam pentadbiran sesiapa pun, pasti ada halangan dan cabaran yang pelbagai, dan era Anwar Ibrahim juga tidak terkecuali.
Kritikan yang pelbagai daripada pihak-pihak tertentu, terutamanya dalam pengurusan ekonomi serta komunikasi, serta menerajui kerajaan yang terdiri daripada parti politik dengan ideologi yang pelbagai, sering kedengaran.
Justeru malam ini, sempena Hari Pekerja 2024, Perdana Menteri sekali lagi akan berhadapan dengan media-media utama termasuk Astro AWANI, sebagai salah satu usaha memberi pencerahan dan penjelasan yang pelbagai terhadap isu-isu semasa.
Bakal bersiaran pada Program Soal Jawab Perdana Menteri di semua saluran media tempatan pada jam 9.00 malam ini, Anwar berkata - “Insya-Allah, saya akan mengulas pelbagai perkara termasuk pengumuman Hari Pekerja serta isu-isu semasa yang mendepani rakyat dan negara”.
Astro AWANI akan membaca wawancara khas ini secara langsung di Saluran 501 dan semua platform kami. Jangan ketinggalan.
#Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan #Soal Jawab Perdana Menteri #Malaysia Madani
;