“Sempat nyanyi Encik Hail jangan marah… dia senyum”- Uji Rashid

Faida Rahim
Mei 7, 2024 12:52 MYT
Uji Rashid anggap Allahyarham Hail Amir bukan sekadar sahabat, tetapi juga sudah seperti abang sendiri.
AMPANG: Penyanyi yang juga rakan seperjuangan dalam karier nyanyian, Allahyarham Datuk Hail Amir, Uji Rashid menganggap pemergian sahabatnya itu meninggalkan kesan mendalam buatnya secara peribadi.
Ini kerana, selama mengenali Hail Amir, Uji menggambarkan Allahyarham bukan sahaja sebagai sahabat tetapi juga sudah seperti abangnya sendiri.
Justeru, semasa berpeluang menziarahi Allahyarham di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Uji menghabiskan masa dengan sahabatnya itu.
“Dua hari saya di hospital ziarah arwah. Hari pertama, saya tengok dia tak bercakap, dia tak pandang. Dia tak tengok pun… macam tak nak (pandang).
“Pada hari kedua, arwah bercakap. Dia bercakap dengan anaknya… berborak. Saya sempat nyanyi ‘Encik Hail jangan marah, dia terus tersenyum.’
“Bila nyanyikan (lirik lagu Menunggu Nasi Minyak)… dia macam ingat kita,” kata Uji berkongsi ceritanya menghabiskan masa bersama Allahyarham Hail Amir di wad HKL.
Uji dan Allahyarham Hail Amir mula bersahabat sejak mereka bergelar penari kebudayaan lagi.
Selama berdekad bergelar rakan duet dalam nyanyian pula, Uji dan Allahyarham Hail Amir – kedua-duanya menempa kemasyhuran yang luar biasa.
Antara lagu nyanyian pasangan itu yang terus popular sehingga kini ialah Antara Matamu dan Mataku, Menunggu Nasi Minyak, Seloka Hari Raya serta Tanda Kasih.
Allahyarham Hail Amir yang meninggal dunia pada usia 76 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, sekitar pukul 11 pagi ini.
#Hail Amir #Hail Amir meninggal dunia #Uji Rashid #Hospital Kuala Lumpur
;