Sempat minta tolong sebelum hilang di tengah laut
Adie Sufian Zulkefli
Disember 16, 2023 10:20 MYT
Disember 16, 2023 10:20 MYT
LANGKAWI: Sorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Tanjung Rhu, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis menerima laporan kejadian panggilan MERS 999 oleh orang awam pada jam 6.15 petang.
Beliau berkata, pihak polis tiba di lokasi kejadian dan membuat pemeriksaan awal menjumpai kereta jenis Proton Satria dipercayai milik mangsa.
“Kereta itu tidak berkunci dan pemeriksaan menemui barang peribadi milik mangsa dan kad pengenalan.
Mangsa Mohammad Khairie Shaari, 32, berasal dari Taman Mahsuri, Jitra dan baru sebulan datang ke pulau ini berkeja sebagai eksekutif jualan di sebuah kedai emas dan dipercayai datang ke kawasan pantai itu berseorangan untuk mandi.
“Hasil siasatan orang awam ternampak mangsa terkapai-kapai sambil meminta tolong di dalam air sebelum tenggelam dan tidak lagi kelihatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurut Shariman, operasi mencari dan menyelamat diteruskan jam 7 pagi tadi terdiri daripada Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Katanya, keadaan air surut dan cuca cerah pada pagi ini diharap dapat menemukan mangsa.
Ujarnya, keluarga mangsa telah dimaklumkan berkaitan kejadian.