'Sempat menikmati hidangan ubi rebus sebelum hilang'
Astro Awani
Disember 13, 2022 10:00 MYT
Disember 13, 2022 10:00 MYT
SETIU: Bekas imam masjid yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di tali air Kampung Fikri, di sini, semalam, sempat menjamah hidangan ubi rebus sebelum kejadian.
Menurut adik mangsa, Che Marlina Abdul Ghani, 48 tahun, abangnya Zakaria Mohd Nong dikatakan keluar untuk menjala ikan selepas waktu Asar.
Jelasnya, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa Zakaria selepas menerima panggilan daripada penduduk kampung.
"Dalam kira-kira pukul 6 lebih, ada orang tengok dia turun, sebab jalanya lekat di culvert.
"Mungkin masa dia turun itu, dia tergelincir tepi culvert itu, dan termasuk ke dalamnya, sebab masa itu air tengah berpusar laju," katanya yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima berita tersebut.
Che Marlina berharap operasi mencari dan menyelamat berjalan lancar dan abang sulungnya itu segera ditemui.
Pada Isnin, Zakaria dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menjala ikan.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin berkata, mangsa dikatakan bersendirian ke kawasan itu untuk menangkap ikan.