Sempat makan cendol dengan rakan sebelum maut
Adie Sufian Zulkefli
Februari 24, 2018 04:55 MYT
Februari 24, 2018 04:55 MYT
Kemeriahan beberapa pelajar bersiar-siar dengan menunggang motosikal sebelum singgah di sebuah gerai di Sungai Kob dekat sini untuk menikmati semangkuk cendol bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan jalan raya lewat petang Sabtu.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa Mohamad Akmal Firdaus Rohaizar, 19 tahun, bersama empat lagi rakannya sedang menunggang motosikal dari arah Kulim Hitech menuju ke arah Lebuh Raya Perdana.
Sebaik tiba di persimpangan Kulim Hitech, motosikal jenis Modenas Dinamik yang ditunggang mangsa bersama seorang lagi rakannya yang membonceng di belakang tiba-tiba hilang kawalan.
Ia melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki lorong bertentangan dan merempuh sebuah kereta.
Akibat pelanggaran itu, mangsa dan rakannya tercampak ke bahu jalan.
Mohamad Akmal yang juga pelajar Jurusan Perakaunan dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah maut di tempat kejadian selepas mengalami patah tengkuk dan kecederaan parah di kepala.
Manakala rakannya yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital kulim untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mangsa dari Langkawi.