Sempat lihat adik kembar terkapai-kapai minta tolong sebelum hilang dari pandangan

Vivi Sumanti
Februari 19, 2020 22:04 MYT
Sebelum kejadian, mangsa, Md Harith Darwish Md Lokman dipercayai sedang bermain air dan mandi bersama rakannya yang lain di kawasan tali air berkenaan.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemui lemas di tali air di Kampung Belukar, Kubang Bemban, pada jam 5.46 petang tadi.
Sebelum kejadian, mangsa, Md Harith Darwish Md Lokman dipercayai sedang bermain air dan mandi bersama rakannya yang lain di kawasan tali air berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.33 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Seramai 14 anggota dan pegawai daripada BBP Pasir Mas termasuk Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Kota Bharu membantu mencari mangsa.
“Selepas operasi mencari, mangsa ditemui oleh anggota bomba pada jarak 10 meter dari lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Juri Ismail, 34, berkata, dia terkejut dan hampir pengsan apabila anaknya, Md Haras Irfan, memberitahu bahawa adik kembarnya lemas di tali air.
"Pada ketika itu, saya sedang berbual dengan suami, (Md Lokman Saud, 36) yang baru pulang dari kerja, sebelum Haras tiba-tiba berlari pulang dalam keadaan cemas dan memberitahu adiknya lemas di tali air.
"Badan saya terus lemah dan tidak mampu berdiri selepas mendengar berita itu, manakala suami pula bergegas ke tempat kejadian," katanya.
Menurut Juri, sudah menjadi rutin anak kembarnya itu pada setiap petang selepas pulang dari sekolah untuk keluar bermain bersama rakan, namun kebiasaannya mereka hanya bermain berdekatan rumah, tetapi hari ini kedua-duanya ke tali air tanpa pengetahuannya.
"Haras memberitahu dia melihat adik kembarnya terkapai-kapai meminta tolong sebelum hilang dari pandangan.
“Haras tidak berani menolong dan terus pulang ke rumah untuk memberitahu saya dan suami.
“Meskipun masih terkejut dengan kejadain ini, namun kami reda dengan apa yang terjadi biarpun sedih kehilangan anak tersayang,” katanya.
#BBP Pasir Mas #Hospital Pasir Mas #Juri Ismail #Kampung Belukar #kanak-kanak lemas #Md Haras Irfan #Md Harith Darwish Md Lokman #Pasukan Penyelamatan di Air #PPDA
;