Sempadan China mula dibuka hari ini
Sinar Harian
Januari 8, 2023 09:00 MYT
Januari 8, 2023 09:00 MYT
SELEPAS hampir tiga tahun menutup pintu sempadannya ekoran penularan pandemik COVID-19 bemula pada tahun 2020, China akhirnya kembali membuka semula pintu sempadannya bermula hari ini.
Langkah itu diambil susulan strategi diambil pemerintah republik tersebut yang mula melonggarkan dasar sifar COVID-19 di negara berkenaan bermula pada awal Disember lalu.
Antara dasar baharu diperkenalkan itu antara lain termasuk membenarkan rakyat di negara tersebut untuk melancong dan ke luar negara.
Keputusan diambil China yang merupakan negara populasi teramai di dunia itu ternyata menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat antarabangsa kerana ia dilakukan ketika negara berkenaan berhadapan dengan peningkatan drastik penularan kes COVID-19.
Ekoran itu, beberapa negara mula mencadang dan melaksanakan langkah mengetatkan peraturan ketat pencegahan penularan COVID-19 mereka menjelang ketibaan pelawat dari China antaranya termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.
Sementara itu di Malaysia, ramai pihak turut melahirkan kerisauan mereka terhadap perkembangan tersebut, malah terdapat juga mencadangkan agar kerajaan menangguhkan kemasukan pelancong daripada negara berkenaan.
Dalam menangani isu tersebut, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada 30 Disember lalu memaklumkan semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
Katanya, mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula dan perlu menjalani ujian COVID-19 sekiranya disyaki menghidapi wabak tersebut.
Selain itu, beliau berkata, survelan di PMA juga diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China, bertujuan untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.
Tambah Dr Zaliha, bagi meningkatkan pengesanan sebarang varian baharu pula, semua kes influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) yang datang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir perlu melakukan ujian RTK-Ag COVID-19.
Dalam pada itu, beliau dalam kenyataan berasingan pada 2 Januari lalu berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil serius kebimbangan masyarakat berkenaan peningkatan kes COVID-19 di China dan ketibaan pelancong dari republik itu.
Jelasnya, KKM akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan wabak itu dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan sebarang kemungkinan peningkatan kes Covd-19.
Pada masa sama, beliau turut berharap agar masyarakat dapat meningkatkan peratusan pengambilan dos penggalak yang ketika ini berada pada kadar 49.8 peratus bagi meningkatkan perlindungan terhadap wabak tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, walaupun dua varian utama menular di China iaitu varian BA.5.2 dan varian BF.7 dikesan telah berada di Malaysia sejak tahun lepas, masih tiada data yang mengaitkannya dengan peningkatan kes kemudaratan atau kematian.
Bagaimanapun katanya, situasi itu akan disemak dari masa ke masa apabila terdapat sebarang perubahan ketara yang seterusnya memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam.
Dr Noor Hisham memaklumkan, varian XBB masih menjadi varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak Oktober lalu.
Berdasarkan data daripada Tourism Malaysia, China merupakan negara ketiga terbesar dari segi ketibaan pelancong di Malaysia, dengan kira-kira 3.1 juta pelancong melawat negara pada 2019.
Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memaklumkan jangkaan awal menunjukkan kira-kira 1.3 juta warga China melancong ke Malaysia pada tahun 2023, dengan penjanaan terhadap sektor pelancongan berjumlah sekitar RM3.6 bilion. -Sinar Harian