Semoga sambutan Ponggal beri kemakmuran, buka peluang baharu buat Keluarga Malaysia - PM

Nickyson Nyambar
Januari 13, 2022 22:56 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap agar sambutan Ponggal dapat memupuk perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat di negara ini. - Gambar PMO
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya sempena Pesta Ponggal berharap sambutan itu bakal membawa kemakmuran dan membuka peluang baharu buat seluruh Keluarga Malaysia.
Pesta Ponggal yang dirayakan masyarakat Tamil yang disambut bermula Jumaat sehingga Isnin depan turut diharap dapat memupuk perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat di negara ini.
"Saya mengucapkan selamat menyambut pesta Ponggal kepada semua Keluarga Malaysia yang meraikan.
"Pesta Ponggal atau pesta menuai disambut oleh masyarakat India sebagai tanda kesyukuran terhadap hidupan dan alam semula jadi yang memberi rezeki.
"Pepatah “Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum" bererti "permulaan Thai membuka peluang baharu" sering diucap berkait dengan perayaan ponggal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada Khamis.
Ponggal adalah merupakan perayaan menuai yang disambut selama empat hari pada bulan Thai di dalam kalendar India.
Ia menandakan berakhirnya musim menuai, yang mana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari.
Lazimnya, semasa sambutan ini rumah-rumah akan dihiasi dengan daun mangga selain lain lantai rumah diserikan dengan tepung beras atau beras berwarna.
#Perdana Menteri #Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #Pesta Ponggal #Keluarga Malaysia
;