Semoga perkahwinan ini bahagia sampai ke syurga - YB Rara

Hakim Rahman, Firdaus Azil
April 10, 2021 17:02 MYT
Teka teki status perkenalan Rara dengan seorang Eksekutif Pengiklanan akhirnya terjawab selepas mereka selamat diijabkabulkan- Foto Twitter @youngsyefura
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman sah diijabkabul dengan jejaka pilihan hati beliau, Muhammad Edrin Nordin hari ini.
Muhammad Edrin atau lebih dikenali sebagai Edrin Furtado merupakan seorang Eksekutif Pengiklanan.
Kedua-kedua mempelai sama cantik sama padan itu sebelum ini mengikat tali pertunangan tanda penyatuan hati di Bentong, Pahang, pada Februari lepas.
“Syukur Alhamdulillah semuanya sudah selamat. Terima kasih kepada mereka yang mendoakan kebahagiaan kami,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Difahamkan majlis pernikahan itu dilakukan secara sederhana di Wisma Selangor Dredging 11 pagi tadi, dengan jumlah kehadiran yang bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.
Sebahagian upacara akad nikah turut disiarkan secara langsung di Instagram rasmi Young Syefura, dan rata-rata netizen memuji keayuan ahli politik berusia 32 tahun itu yang mengenakan busana serba putih.
"Alhamdulillah, sangat bersyukur dan lega majlis berlangsung dgn sempurna seperti yang dirancang. Terima kasih kepada semua pihak yg membantu secara langsung atau tidak.
"Semoga perkahwinan ini bahagia sampai syurga," katanya lagi.
Ini merupakan perkahwinan kedua Rara yang pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang pengurus pelaburan pada tahun 2016.
Mengulas lanjut Rara berkata, perubahan status itu tidak akan menjejaskan fokusnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
"Suami saya seorang yang sangat memahami tanggungjawab saya sebagai Adun malah sentiasa menyokong segala usaha saya dalam membantu penduduk di Dun Ketari," katanya lagi.
#Young Syefura #Rara #DAP #ADUN Ketari #kahwin #Edrin Furtado #Muhammad Edrin Nordin #perkahwinan #Astro Awani #YB Rara #Rara kahwin
;