Semoga Johor terus makmur - Bekas Menteri Besar Johor

Hakim Rahman
Februari 28, 2020 20:50 MYT
SAHRUDDIN: Semoga Negeri Johor akan terus makmur dan seluruh rakyat hidup sejahtera di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor. - Gambnar fail
Bekas Menteri Besar Johor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Sahruddin Jamal menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang yang telah memberikan kerjasama sepanjang beliau mentadbir Kerajaan Negeri Johor.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Istana Johor mengumumkan pelantikan ADUN Benut yang juga Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18.
“Di hari Jumaat yang penuh keberkatan ini, saya dengan rasa rendah diri merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang saya mentadbir Kerajaan Negeri Johor sebagai Menteri Besar Johor Ke-17.
“Semoga Negeri Johor akan terus makmur dan seluruh rakyat hidup sejahtera di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor,” katanya dalam kenyataan lewat petang Jumaat.
ADUN Bukit Kepong itu kali pertama bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan memegang portfolio Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor sebelum menduduki tampuk pentadbiran selama 10 bulan bermula pada 14 April 2019.
Beliau sebelum itu menggantikan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang dilantik menjawat jawatan tersebut pada 12 Mei 2018 dan mentadbir selama 11 bulan sehingga 9 April 2019.
Pelantikan Datuk Ir Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor ke-18 menjadikan beliau Menteri Besar yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei 2018.
#adun benut #Bangsa Johor #Bersatu #Hasni Mohammad #Menteri Besar Johor #politik Johor #sahruddin jamal
;