Semoga dunia kekal aman sepanjang tahun 2018
Muzaffar Syah Mallow
Disember 31, 2017 13:22 MYT
Disember 31, 2017 13:22 MYT
TAHUN 2017 sudah sampai ke penghujungnya manakala tahun baru 2018 bakal bermula.
Seiring dengan kemunculan tahun baru 2018 ini sudah pasti ramai yang mula melahirkan pelbagai jenis harapan mereka terhadap tahun baru ini sama ada harapan untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih kuat, harapan untuk meningkatkan taraf hidup, harapan untuk memperolehi tahap kesihatan yang baik, dan lain - lain lagi.
Namun jika dilihat secara umumnya, kesemua harapan yang ingin diperolehi ini bertitik tolak daripada proses keamanan. Tanpa adanya keamanan, tidak mungkin sebarang harapan seperti yang dinyatakan diatas dapat diperolehi.
Keamanan adalah faktor terpenting dalam menjayakan segala jenis sasaran atau matlamat yang ingin diperolehi bukan sahaja pada tahun yang akan datang malah pada tahun - tahun berikutnya.
Tanpa adanya keamanan, tidak mungkin kita dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tanpa keamanan, tidak mungkin kita dapat meningkatkan taraf kehidupan kita serta tanpa keamanan, agak sukar untuk menjaga tahap kesihatan dan lain - lain lagi.
Segalanya ini jelas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya keamanan untuk dikekalkan.
Serangan pengganas
Sepanjang tahun 2016 yang lalu, dunia telah dikejutkan dengan pelbagai berita serangan pengganas serta ancaman keganasan yang kebanyakkannya datang dari kumpulan Daish atau al-Dawla al-Islamiya Fi Iraq Wa al-Sham, atau lebih dikenali juga sebagai kumpulan Militan Islamic State in Iraq and Syams (ISIS) atau Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL) atau Islamic State (IS).
Kumpulan pengganas berkenaan telah menyalahgunakan kesucian dan keamanan yang dibawa oleh agama Islam dengan melakukan banyak aktiviti keganasan terhadap penduduk awam yang tidak bersalah sehingga mengorbankan banyak nyawa serta membawa kecederaan terhadap ramai mangsa yang terlibat yang terdiri daripada kaum wanita, warga tua, serta golongan kanak – kanak seperti yang berlaku di Turki, Bangladesh, Arab Saudi, Indonesia, serta Malaysia sendiri pada tahun 2016 yang lalu.
Serangan yang dilakukan oleh mereka bukan sahaja mensasarkan penduduk dari kalangan negara – negara Islam sahaja malah turut mensasarkan penduduk di negara – negara Barat di Eropah dan benua Amerika.
Melalui kerjasama banyak negara dunia termasuk Malaysia yang melakukan serangan tindak balas terhadap kumpulan berkenaan telah menyebabkan serangan dan ancaman yang dibawa oleh kumpulan terbabit dilihat kian berkurangan sepanjang tahun 2017 ini.
Malah kerajaan Iraq pada awal bulan Disember 2017 yang lalu telah mengistiharkan negaranya kini bebas dari pengaruh kumpulan radikal berkenaan. Tumpuan kini sedang giat diberikan bagi menghapuskan sisa-sisa kumpulan radikal terbabit yang masih bergerak secara bersembunyi di Asia Barat.
Faktor penyumbang
Dalam dunia meraikan kemenangannya terhadap kumpulan radikal terbabit, dunia kini terpaksa pula hadapi tindak-tanduk Presiden Amerika Syarikat yang dilihat bukan sahaja tidak membantu dalam mengurangkan masalah berkaitan dengan ancaman keganasan malah dilihat boleh dilihat menjadi faktor penyumbang terhadap isu berkenaan.
Semenjak terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat pada awal tahun 2017 yang lalu, pelbagai tindakkan agresif yang diambil oleh beliau bukan sahaja dalam mentadbir urusan dalam negaranya malah dalam urusan hubungan diplomatik dan antarabangsa.
Antara tindakan beliau yang paling agresif ialah dengan mengistiharkan secara satu pihak bandaraya Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota Isreal pada 6 Disember 2017 yang lalu.
Tindakan beliau telah mengundang reaksi marah dan perasaan tidak puas hati ramai pihak khususnya umat Islam dan masyarakat Palestin. Tindakkan beliau dilihat bukan sahaja akan membantutkan usaha masyarakat Palestin buat sekian lama untuk memperolehi kemerdekaan negara mereka sendiri malah dikuatir akan menyumbang kepada peningkatan tahap keganasan antarabangsa.
Ini sekali gus menyebabkan dunia berada dalam keadaan tidak stabil.
Oleh yang demikian, adalah penting semua pihak mencari jalan supaya segala isu berbangkit sepanjang tahun 2017 tidak terus merebak pada tahun 2018 kelak. Dunia sudah muak dengan serangan dan ancaman keganasan.
Dunia juga sudah muak dengan sikap acuh tidak acuh sesetengah pemimpin yang hanya mementingkan diri mereka sendiri. Bagi menjayakan semua harapan yang bakal dilahirkan sempena sambutan tahun baru ini, semua pihak harus memainkan peranan masing – masing serta berusaha bagi membawa kepada keamanan.
Adalah menjadi harapan semua pihak tahun 2018 kelak membawa kepada titik perubahan kearah menjadikan dunia yang lebih aman dan selamat.
Selamat menyambut tahun baru 2018!
* Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya ia mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.