'Semoga ada Jacinda Ardern versi Malaysia untuk majukan negara' - Pakar psikologi
Wan Syamsul Amly
Disember 4, 2020 20:57 MYT
Disember 4, 2020 20:57 MYT
KUALA LUMPUR: Ekologi organisasi politik selalunya membenarkan seseorang pemimpin duduk begitu lama sehingga peluang tunas baru terutama dari wanita muda tidak dibenarkan menyerlah.
Pakar Psikologi, Prof Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzub menegaskan, secara tersirat juga wujud sikap berat sebelah dalam landskap politik negara yang memberi peluang lebih kepada kaum lelaki sebagai pemimpin tegar berbanding wanita.
"Maka mutiara (serikandi) tinggal mutiara tidak digilap jadi berlian dan walau digilap pun duduklah di situ tidak bergerak ke atas.
"Puteri atau remaja patut diberi peluang yang sama memegang tampuk politik. Mereka pun berkelayakan hatta ada yang lebih layak dan berdedikasi.
"Sewajarnya pemimpin fikirkan secara jangka panjang dan terbuka berorientasikan persamaan atau ekualiti dalam perjuangan. Patut dikikis sikap menganggap kaum wanita sebagai tidak penting atau tidak layak diketengahkan. Semuga ada Jacinda Arden (Perdana Menteri New Zealand) versi Malaysia yang layak untuk memajukan negara ini," katanya semasa dihubungi di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu kata Dr Rohaty, pelapis muda wanita adalah tunggak dan penyumbang kepada perkembangan ekonomi serta politik negara.
"Wanita dikatakan berkebolehan dan gigih dalam parti politik dan menjadi team player yang kuat
berkerjasama dan setia. Maka peluang perlu dilaksanakan untuk pelapis seawalnya dari kolej dan universiti.
"Asas kepemimpinan dibina awal dengan melatih dalam aspek kecerdasan emosi khususnya
komunikasi dan penyelesaian masalah. Belia dan remaja perlu berganding dengan masyarakat tempatan untuk mengenal tujuan hidup berkommuniti dan jadi agen perubahan yang berkesan.
"Dalam parti politik, bahagian puteri wajib diintegrasikan pelan untuk memperkasakan golongan ini menjadi pelapis yang berwibawa dan komited. Pelan perlu mantap dan dirancang dengan unjuran sekali bilangan wanita muda yang patut dinaikkan taraf memegang jawatan politik yang signifikan atau penting bukan tinggal di bawah hirarki dan semata-mata jadi frontliners membantu untuk pilihan raya," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Srikandi Muda, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor menjelaskan, mereka menolak sebarang bentuk 'warlord' parti yang pastinya menjadi tembok halangan bagi wajah politik baharu untuk ke hadapan dalam membawa suara rakyat.
Jelasnya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional berkata, mereka menekankan aspek penerangan yang jelas di sosial media serta memastikan setiap kepimpinannya terus progesif dalam menyampaikan idealisma semasa bertepatan dengan falsafah perjuangan parti.
"Srikandi Muda bukan peraih undi dan tidak tertakluk kepada cita-cita politik semata-mata.
"Sebaliknya Srikandi Muda adalah wadah politik baharu yang ditunjangi anak muda wanita untuk menjadi jambatan kebajikan rakyat, termasuklah bantuan bekalan makanan kepada fakir miskin, mangsa banjir, bencana alam dan semestinya kepada semua lapisan masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik COVID-19.
"Srikandi Muda juga cakna dengan kumpulan masyarakat minoriti yang dipinggirkan jurang dan menjadi perdebatan awam. Srikandi Muda ditunjangi wanita muda dari pelbagai latar belakang kerjaya, dalam matlamat untuk menjadikan politik sebagai landasan penting untuk kejayaan rakyat dan negara," ujarnya.
Sebelum ini, Bekas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk A. Kadir Jasin menyarankan agar peluang diberikan kepada pemimpin muda mengambil alih secara teratur dan terancang demi menjamin kesinambungan pemerintahan negara.
Dalam satu tulisan di Facebooknya, Tokoh Wartawan Nasional itu berkata, sudah tiba masanya untuk kepimpinan politik yang ada sekarang diganti.
#PPBM
#Puteri
#COVID-19
#pilihan raya
#Jacinda Ardern
#wanita
#pemimpin
#Dr Rohaty Mohd Majzub
#Perdana Menteri New Zealand
#Perikatan Nasional