Seminggu sudah, keluarga amat terpukul dengan pemergian Eqiey

Nazialita Geynna Maharan
Oktober 7, 2017 13:21 MYT
Menurutnya kematian adik kesayangannya (kanan) terlalu dirasai kerana arwah merupakan seorang yang periang dalam keluarga dan begitu rapat dengannya dan suami. - Foto Facebook.com / Nik Muhammad Baihaqy
Hari ini genap seminggu pemergian arwah Mohd Baihaqy Nik Mat, Laskar Kanan 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setelah meninggal dunia di bilik Tahanan Sungai Wangi, Sitiawan dipercayai didera.
Namun jeritan dan tangisan anak sulung Allahyarham, Nik Adam Mikail yang berusia empat tahun takala melihat jenazah ayahnya tiba di kampung Pasir Tumbuh, Kelantan masih terngiang-ngiang sehingga ke hari ini.
“Ayah…abang nak ikut ayah…nak ikut,” kata adik kepada Allahyarham, Nik Noorliliwati Nik Mat, 44, menceritakan keadaan anak saudaranya pada ketika itu.
Beliau berkata biarpun seminggu sudah berlalu namun seluruh keluarganya amat sukar sekali menerima hakikat bahawa Mohd Baihaqy atau panggilan mesranya Eqiey sudah tiada.
BACA: Anggota TLDM mati dalam bilik tahanan
BACA: "Mama jangan risau, selepas tahanan papa selesaikan semua" - Luahan terakhir anggota TLDM
Menurutnya kematian adik kesayangannya terlalu dirasai kerana arwah merupakan seorang yang periang dalam keluarga dan begitu rapat dengannya dan suami.
"Arwah seorang adik yang mudah ketawa dan periang. Kami rapat dan dia sering luah sebarang masalah kepada saya.
"Nak cakap manja tu, tak adalah tapi pasti arwah datang kepada saya jika ada masalah, itu yang saya paling ingat," katanya ketika mengenang tentang adik kelapan daripada 10 beradiknya itu.
Tambahnya, sehingga hari ini beliau tidak menerima sebarang perkembangan terbaru daripada pihak polis mengenai kes penderaan yang meragut nyawa adiknya.
Beliau yang merupakan kakak sulung kepada arwah berkata, sebaik sahaja urusan pengkebumian adiknya di Tanah Perkuburan Limbat, Pasir Tumbuh, Kota Bharu selesai dia terus pulang ke Kuala Lumpur.
Jelasnya lagi dia juga tidak berkesempatan bertanyakan keadaan semasa isteri arwah adiknya kerana memahami adik iparnya masih diselubungi perasaan sedih sejak kehilangan ketua keluarga.
Noorliliwati berkata ahli keluarga dan dirinya masih sukar untuk menerima kenyataan bahawa adiknya menemui ajal sedemikian rupa.
"Antara perasaan paling ralat adalah saya tidak dapat berjumpa arwah. Terlalu sedih apabila terkenangkan perkara ini. Kebiasaannya, arwah akan datang ke rumah saya setiap kali bercuti namun kali ini dia tidak melawat rumah saya seperti biasa.
"Kali terakhir saya jumpa arwah adalah pada hari pengebumian arwah ayah dua bulan lepas," katanya lagi.
Katanya tiada apa yang diinginkan untuk arwah adiknya selain keadilan setimpal buat mereka yang telah mendatangkan kecederaan fizikal sehingga menyebabkan kematiannya.
“Akak nak keadilan untuk adik akak, biarlah anggota tentera yang buat adik akak dihukum mati sama macam dia hukum adik akak sampai mati.
“Itu harapan kami sekeluarga. Jika terbukti bersalah, jatuhilah hukuman yang setimpal ke atas perbuatan mereka,” katanya.
Arwah Nik Mohd Baihaqy, 28, bersama rakannya Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatulman Mohd Sukry, 26, disahkan meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal di Lumut.
Kedua-dua anggota tersebut sebelum itu mengadu kepenatan sebelum direhatkan dan dimasukkan ke dalam bilik tahanan di Sungai Wangi, Sitiawan.
#Kuala Lumpur #mati dalam tahanan #meninggal dunia #Mohd Baihaqy Nik Mat #Nik Adam Mikail #Nik Noorliliwati #tentera #TLDM
;