Seminggu dipujuk, individu tertua Orang Asli Bukit Payung akhirnya terima vaksin

Bernama
Julai 7, 2021 12:27 MYT
Seramai 314 penduduk Orang Asli di Kampung Orang Asli Bukit Payung menerima suntikan vaksin jenis Sinovac dos pertama menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaaan (PICK) melalui PPVB Mara Liner. - Twitter @Bernamadotcom
ALOR GAJAH: Drama pujuk-memujuk yang berlangsung hampir seminggu akhirnya 'tamat' apabila individu tertua di Perkampungan Orang Asli Bukit Payung bersetuju dan menerima vaksin COVID-19 semalam.
Puchat Lubak, 92, hadir ke pusat pemberian vaksin bergerak (PPVB) Kampung Orang Asli Bukit Payung dengan ditemani cucunya, Asiah Jegap, 37, dan menerima suntikannya semalam sebelum keadaannya dipantau rapi petugas kesihatan terlibat.
Puchat turut mendakwa dirinya berusia lebih 100 tahun walaupun rekod pada kad pengenalannya mencatatkan beliau dilahirkan pada 1929.
"Ambil vaksin sebab takut penyakit (COVID-19). Tak sakit pun (dicucuk)," katanya dalam bahasa Temuan sebelum diterjemahkan Asiah ketika ditemui di sini.
Asiah menjelaskan, dia dan keluarganya mengambil masa seminggu untuk memujuk dan meyakinkan neneknya itu memandangkan Puchat sangat mempercayai perubatan tradisional seperti tumbuh-tumbuhan dan akar kayu berbanding vaksin.
"Mula-mula memang dia tak nak, tapi lama-lama dia bersetuju lepas saya cakap penyakit sekarang sudah makin teruk," katanya.
Sementara itu, Rami Song Song, 62, mengakui takut dengan jarum namun akur untuk menerima vaksin selepas dipujuk oleh anak-anaknya.
"Saya sendiri bila fikir anak dan cucu terus setuju sebab tak nak jadi apa-apa pada mereka," katanya yang kelihatan seronok mengambil vaksin beramai-ramai dengan penduduk kampung.
Terdahulu, seramai 314 penduduk Orang Asli di kampung berkenaan menerima suntikan vaksin jenis Sinovac dos pertama menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaaan (PICK) melalui PPVB Mara Liner.
Di KOTA BHARU, Kelantan pula sepasang suami isteri kurang upaya Mohd Nawi Yusof, 67, dan Kamariah Saad, 65, bersyukur dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 melalui mobil bergerak yang lebih mudah.
Mohd Nawi yang terlantar sejak 2012 akibat masalah saraf tunjang berkata beliau dan isterinya yang mengalami kecacatan kaki kanan kerana kencing manis, sudah lama menantikan suntikan vaksin itu dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.
"Saya sudah biasa dengan suntikan, tidak takut jarum dan sebaik sahaja dijemput untuk disuntik di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), kami rasa lega. Cucuk (suntikan) ini penting walau dalam keadaan sihat atau sakit, kalau ada penyakit berjangkit kita kena hindari," kata pesara kerajaan itu.
Beliau berkata demikian selepas Program Suntikan COVID-19 untuk OKU di YOKUK, Pengkalan Chepa di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi YOKUK Sulaini Mat Il dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Pegawai Kesihatan Daerah Kota Bharu), Dr Izamin Idris.
Mohd Nawi bersama Kamariah diambil dari rumahnya di Taman Seri Pengkalan Chepa oleh van yang disediakan dan dihantar ke pejabat YOKUK untuk proses pemvaksinan tersebut.
Sementara itu, Sulaini berkata seramai 280 OKU dari beberapa daerah termasuk Kota Bharu, mendapat suntikan vaksin COVID-19 di YOKUK.
"OKU yang hadir bukan sahaja yang berkerusi roda, tetapi memandangkan YOKUK menyediakan perkhidmatan paliatif, jadi tumpuan kita juga kepada pesakit terlantar di rumah. Mereka disuntik mengikut senarai nama terpilih dan OKU yang tiada kenderaan akan divaksin di rumah," katanya.
-- BERNAMA
#vaksin #Orang Asli #COVID-19 #jangkitan #Bukit Payung #PPVB #suntikan #kesihatan
;