Seminar Kassim Ahmad perlu disiasat, diambil tindakan - PAS

Astro Awani
Februari 20, 2014 04:33 MYT
Setiausaha Dewan Ulama PAS Kedah Ahmad Yahya
Dewan Ulama PAS Kedah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daera (IPD) Kota Setar dan menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penganjuran seminar Pemikiran Kassim Ahmad Satu Penilaian.
Memetik laporan Sinar Harian, Setiausahanya, Ahmad Yahya, berkata penganjuran seminar yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, Ahad lalu telah membangkitkan semula satu fitnah yang boleh menyebabkan keharmonian negara tergugat.
“Beliau kembali mengulangi kenyataan berkaitan dengan hadis bukan sumber rujukan utama, rambut wanita bukan aurat dan juga perkara yang berkaitan dengan mendewa-dewa Nabi Muhammad SAW dan ulama.
“Justeru, kita mengira perkara tersebut menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat beragama Islam. Malah turut mencabar kedaulatan agama Islam di negara ini,” kata beliau kepada Sinar Harian.
ADUN Alor Mengkudu itu juga berkata pihaknya tidak boleh menerima sebarang cetusan yang boleh menimbulkan konflik di kalangan umat Islam di negara ini.
“Kenyataan beliau jelas menghina Nabi Muhammad SAW, syariat Islam dan sumber hukum, iaitu hadis. Keadaan ini telah mencemarkan Islam dan bercanggah dengan akidah Islam,” katanya.
#Ahmad Yahya #Dewan Ulama PAS Kedah