Semenyih perlu pembangunan seimbang - Penduduk

Wan Syamsul Amly
Februari 15, 2019 05:32 MYT
Penduduk Semenyih berharap keseimbangan pembangunan tidak tertakluk kepada kawasan tertentu sahaja. - Gambar hiasan
Semenyih perlu pembangunan seimbang dan selari bandar-bandar bersebelahan seperti Kajang atau Putrajaya.
Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Tasik Semenyih, Ahmad Wasfi Kadri berkata, Semenyih juga tidak boleh dianaktirikan dengan fasiliti atau kemudahan yang tidak lengkap.
"Wujud ketidakseimbangan dari segi laluan jalan raya dan kemudahan di sini. Bank pun kurang. Jadi, itu menyebabkan kepada hal-hal lain yang bersangkutan.
"Penduduk harap sangat kerajaan sedia ada memahami aspirasi rakyat dan melihat bagaimana setiap permasalahan boleh diselesaikan dengan bertemu penduduk, wakil-wakil penduduk dan bincang cara terbaik," katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu jelasnya, keseimbangan pembangunan juga tidak boleh tertakluk kepada kawasan tertentu sahaja di Semenyih.
"Kita ada mercu tanda, Bukit Broga tetapi tidak tidak diambil peranan sebenar pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menaik taraf dan memberi kemudahan lebih baik kepada pendaki bukit ini.
"Kita ada Universiti Nottingham, tetapi frasarana jalan baik sehingga di situ sahaja, selepas itu Broga ke Lengging, jalan tidak elok, macam tidak seimbang," ujarnya.
Ahmad Wasfi juga mahu status pegangan sementara di taman kediamannya ditukar kepada pegangan bebas seperti taman-taman sekeliling.
Dalam pada itu, suri rumah, Norzita Abdul Malek melihat pertambahan penduduk sebagai faktor penambahan masjid dan sekolah di Semenyih.
"Masalah sekolah, sebab penduduk terlalu ramai, anak sekolah tumpu satu sekolah, perlu sekolah kebangsaan, perlu sekolah menengah.
"Masjid ada satu sahaja, dua di pekan sana, satu di Beranang. Semua penduduk berhimpun di masjid Bandar Rinching," katanya.
Dalam pada itu, peniaga kedai makan, Muhammad Shah Naatan berharap, pembangunan masa depan Semenyih akan membuka lebih medan selera selain minat penduduk sendiri untuk berkunjung.
"Kita ada Broga, tetapi di sana sahaja yang naik. Tempat lain mati. Bagi saya, satu kekurangan. Ramai yang meniaga, tetapi dalam meniaga tidak semua akan naik.
"Kalau kata satu-satu tempat itu dimajukan dengan cara betul, saya rasa itu lebih baik. Macam apa saya nampak di bahagian pekan Semenyih. Di sana sahaja naik, di belakang ketinggalan," katanya.
Bagi jurujual, Abdul Majid Rozali isu jalan sempit di Semenyih perlu diselesaikan segera.
"Setakat ini, jalan itu sempit, dengan lampu isyarat yang tidak betul tempatnya. Mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ada di Petronas ini dan Semenyih sahaja," katanya.
Dalam pada itu, guru, Noorsahida Said turut mengakui, jalan di kawasan itu perlu diperluaskan.
"Saya rasa ada bahagian Semenyih ini jalannya perlu diperluaskan lagi. Ada bahagian sempit dan jambatan sempit pada masa-masa puncak. Kita hendak elakkan benda-benda macam itu," katanya.
Juruteknik, Arumugam Macandan mahu pembukaan lebuh raya baru untuk memudahkan akses keluar masuk Semenyih.
"Kurangkan kesesakan. Selalu pagi-pagi sesak sahaja. Kalau boleh, elakkan kesesakan dengan tambah lebuh raya," katanya.
Lain pula halnya dengan pemandu teksi, Mohd Farouk Iskandar yang menyifatkan Semenyih akan lebih sempurna dengan projek pembesaran jalan.
"Besarkan jalan, buat jalan cantik sikit. Saya 20 tahun duduk di sini, dulu bas tidak ada, sekarang semua ada, semua sempurna. Ada lebuh raya, semua senang, semua sempurna," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan hari ini sebagai hari penamaan calon. Tarikh mengundi awal ialah 26 Februari.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN tersebut, Bakhtiar Mohd Nor di Hospital Kajang pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.
#Ahmad Wasfi Kadri #bank #bas #bukit broga #fasiliti #Hospital #jalan raya #Kajang #kemudahan #kerajaan #kesesakan #pembangunan #peniaga #persatuan penduduk #pertambahan penduduk #Putrajaya #rakyat #rumah #seimbang #Semenyih #semenyih memilih #Taman Tasik Semenyih #teksi
;