Semenyih Memilih: Hari undi awal bermula
Arfa Yunus, Firdaus Azil
Februari 25, 2019 06:05 MYT
Februari 25, 2019 06:05 MYT
Seramai 858 daripada 951 anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan menunaikan tanggung jawab mereka pada Selasa di dua pusat mengundi awal.
761 orang akan mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih manakala 97 lagi akan mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA telah mengundi secara pos.
Pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang manakala pusat mengundi di Discress Room IPD Kajang akan ditutup pada jam 2 petang.
Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih.
Di samping itu, pemerhati Pilihan Raya daripada wakil organisasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan turut menyaksikan proses tersebut.
SPR dalam kenyataan sebelum ini berkata kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi pada hari ini, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di beberapa lokap balai polis.
Pada hari pengundian iaitu pada 2 Mac ini, peti-peti undi awal tersebut akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan dengan disaksikan oleh ejen calon masing-masing.
Pemerhati pilihan raya yang dilantik juga akan dibenarkan untuk memerhati proses pengiraan itu.
PRK Semenyih akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, calon Parti Sosialis Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul dan calon BEBAS Kuan Chee Heng.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
#Bakhtiar Mohd Nor
#Kuan Chee Heng
#Muhammad Aiman Zainali
#Nik Aziz Afiq Abdul
#Polis Pasukan Gerakan Am
#PRK Semenyih
#Semenyih
#undi awal
#Zakaria Hanafi