Semenanjung Malaysia semakin kehabisan sumber minyak, gas

Sinar Harian
November 17, 2024 15:00 MYT
Rafizi berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim pada Ahad.
KOTA BHARU: Sumber minyak dan gas di Semenanjung negara ketika ini semakin berkurangan kira-kira 50 peratus.

Ringkasan AI
  • Sumber minyak dan gas di Semenanjung telah berkurangan sebanyak 50% dalam tempoh 10 tahun, dengan pengeluaran harian turun dari 700,000 tong kepada 350,000 tong. Kini, sumber utama berada di Sabah dan Sarawak.
  • Sumber minyak dan gas dari Sabah dan Sarawak digunakan untuk memenuhi keperluan tempatan kedua-dua negeri, selain sebahagian besar dieksport melalui perjanjian jangka panjang.
  • Kekurangan sumber ini memberi cabaran besar dalam pengagihan peruntukan negeri. Di Semenanjung, 30% gas kini diimport untuk penjanaan elektrik, menunjukkan kebergantungan yang meningkat kepada sumber asing.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sumber tersebut sebelum ini memberi kelebihan kepada pertumbuhan ekomoni negara dan agihan pendapatan bagaimanapun sumber kini hanya ada di Sabah serta Sarawak.
“Di sebelah Semenanjung, kita memang semakin kehabisan minyak dan gas, lima hingga 10 tahun lepas, jumlah pengeluaran minyak kita ialah sebanyak 700,000 tong sehari, sekarang dalam 350,000 tong sehari.
“Dalam tempoh 10 tahun dah berkurang separuh dan akan kurang dengan lebih cepat,” kata beliau semasa berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim di sini pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan barisan kepimpinan kerajaan Kelantan.
Rafizi mengulas, sumber yang masih di Sabah dan Sarawak itu pula digunakan bagi memenuhi tuntutan dan penggunaannya di kedua-dua negeri itu.
“Ada juga usaha untuk dipertimbangkan kembali cara penagihan pendapatan sumber Sabah dan Sarawak ini.
“Selain memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak, sumber ini sebahagian besar memang dieksport dan diikat dengan perjanjian jangka panjang oleh pembeli-pembeli,” katanya.
Rafizi memberitahu, kekurangan sumber minyak dan gas di Semenanjung tersebut menjadi cabaran yang lebih besar kepada kerajaan dalam soal mengagihkan dan menentukan peruntukan ke negeri-negeri.
“Walaupun Malaysia baik dari segi pertumbuhan ekonomi, gaya hidup berubah, dulu naik motosikal ke kereta, tetapi gaji tak naik, perniagaan tak besar akhirnya perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan yang ada.
“Jadi kalau kita tak tukar cara kita, maka kita akan hidup di luar kemampuan.
“Sekarang di Semenanjung, kita dah mengimport 30 peratus gas untuk menjana elektrik dalam industri dan jika tidak berhati-hati atau tidak ada langkah baik maka kita akan terus bergantung kepada negara asing,” katanya. - SInar Harian
#Rafizi Ramli #sumber minyak dan gas #telaga minyak #Malaysia
;