Sembunyi minyak masak, peniaga kedai runcit dikenakan tindakan

Adie Sufian Zulkefli
Januari 28, 2023 17:33 MYT
Pegawai dripada KPDN bertindak ke atas seorang peniaga susulan aduan menegnai minyak masak bersubsidi yang enggan dijualnya. - Foto: KPDN
SUNGAI PETANI: Tindakan seorang peniaga kedai runcit menyembunyikan minyak masak paket bersubsidi menerima padah apabila dikenakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah hari ini.
Pengarah KPDN Negeri, Affendi Rajni Khan berkata, serbuan dilakukan penguat kuasa KPDN di sebuah premis di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, di sini jam 11 pagi.
Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan menerima aduan menerusi media sosial oleh seorang pengguna yang datang ke kedai itu namun peniaga enggan menjual minyak masak terbabit.
“Pegawai yang menyamar sebagai pengguna telah pergi ke kedai terbabit untuk membeli namun peniaga menyatakan minyak masak paket 1 kilogram (kg) tiada di premis.
“Setelah menunjukkan kad kuasa anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan dan menjumpai sebanyak 120 paket minyak masak 1kg di bahagian belakang dalam premis.
“Minyak masak paket 1kg bersubsidi itu disimpan dan hanya akan dijual kepada pelanggan tetap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Affendi berkata, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas peniaga di bawah kesalahan Seksyen 16A (1) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana enggan menjual barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi 1 kg.
Jika disabit kesalahan bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta.
Affendi berkata, pihak KPDN serius dalam membenteras isu penyelewengan minyak masak paket 1kg bersubsidi yang diberikan oleh Kerajaan.
Tujuan pemberian subsidi adalah untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diseleweng dan seterusnya menafikan hak golongan masyarakat yang sepatutnya menikmati subsidi ini.
Dalam pada itu, orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada KPDN dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau e-mel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my.
#minyak masak #minyak bersubsidi #kpdn #peniaga dikenakan tindakan
;