Sembunyi kelahiran: Pelajar cemerlang dilepaskan dengan bon berkelakuan baik

Bernama
Januari 13, 2017 22:46 MYT
Mahkamah bagaimanapun tidak merekodkan kesalahan wanita itu tetapi memerintahkan dia melaporkan diri di Balai Polis berdekatan sekali sebulan sehingga tamat tempoh bon. - Gambar Hiasan
Seorang pelajar cemerlang sebuah Institusi Awam di Johor dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama tiga tahun bercagaran RM8,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya, November tahun lepas.
Dalam keputusannya, Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor berkata sekiranya mahkamah menjatuhi hukuman penjara terhadap pelajar berusia 21 tahun itu, ia seperti menutup peluangnya untuk berubah.
Beliau berkata mahkamah juga membuat keputusan itu selepas mengambil kira faktor kepentingan awam dan rayuan tertuduh serta laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Nur A'minahtul Mardiah dalam keputusannya berkata bahawa beliau bersetuju wanita itu adalah pelajar cemerlang kerana keputusan peperiksaan November lepas menunjukkan dia memperoleh purata nilai gred 3.87 walaupun sedang hamil.
"Walaupun kamu hamil, kamu boleh memberi keutamaan kepada mana yang lebih utama. Sekiranya hukuman penjara diberikan kepada kamu, seolah-olah mahkamah menutup peluang untuk kamu berubah," katanya.
Mahkamah bagaimanapun tidak merekodkan kesalahan wanita itu tetapi memerintahkan dia melaporkan diri di Balai Polis berdekatan sekali sebulan sehingga tamat tempoh bon.
Nur A'minahtul Mardiah berkata sekiranya pelajar terbabit melanggar syarat tersebut dia akan dihadapkan semula di mahkamah untuk hukuman penjara.
Pada 22 Nov lepas, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Acara mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan membuang bayi itu dengan sulit.
Hukuman terhadap anak sulung lima beradik itu ditangguhkan kepada hari ini sementara menunggu laporan akhlak.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di PPR Wahyu 2, Jalan Sigu, Sentul, di sini, pada 1.16 pagi, 9 Nov lepas mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pelajar itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang minimum dengan alasan dia menyesal dan insaf dengan perbuatannya.
"Saya masih belajar dan mahu membina kehidupan yang cerah," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman setimpal kerana jenayah ini melibatkan nyawa yang tidak bersalah dan ia juga jenayah yang berat.
Mengikut fakta kes, seorang anggota polis telah menerima panggilan daripada orang awam yang terjumpa bayi yang dibungkus di dalam plastik berwarna putih di hadapan sebuah rumah.
Hasil siasatan mendapati bayi itu, yang masih bertali pusat bersama uri dan dalam keadaan bogel, telah meninggal dunia. - BERNAMA
#bayi #dibuang #pelajar buang bayi
;