Sembilan 'ulat kad SIM' warga asing ditahan di KLIA
Bernama
Mac 11, 2025 22:00 MYT
Mac 11, 2025 22:00 MYT
Sembilan lelaki warga Bangladesh dipercayai 'ulat kad SIM' ditahan dalam operasi khas di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Sembilan lelaki warga Bangladesh dipercayai 'ulat kad SIM' ditahan dalam operasi khas di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka yang ditahan berusia 22 hingga 50 tahun hasil pemeriksaan susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.
Beliau berkata 'ulat kad SIM' itu menyasarkan pelancong warga Bangladesh yang baru tiba di KLIA dengan menjual kad SIM secara langsung.
"Soal siasat awal mendapati hasil penjualan kad SIM ini boleh mencecah RM1,500 hingga RM2,000 sehari dan dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata pihaknya turut merampas empat pasport Bangladesh, 10 unit telefon bimbit, 121 keping kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi, lapan keping jarum pembuka kad SIM dan wang tunai RM1,555.
Menurut beliau, kad SIM pelbagai syarikat telekomunikasi Malaysia yang dijual itu akan didaftarkan atas nama individu lain dan dijual pada harga RM25 sekeping.
"Hasil semakan awal mendapati lima ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah, dua orang telah tinggal lebih masa manakala dua lagi dipercayai telah melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS)," katanya.
Zakaria berkata kesemua warga asing itu dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(4) Akta imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
-- BERNAMA