Sembilan termasuk enam warga emas ditahan berjudi di kedai kopi

Bernama
Februari 17, 2021 12:55 MYT
Dalam serbuan itu polis merampas pelbagai peralatan untuk berjudi antaranya dadu, buah mahjong dan cip beraneka warna serta wang tunai sebanyak RM4,178 di atas meja pertaruhan. - Gambar fail
BUTTERWORTH: Enam warga emas antara sembilan individu yang ditahan ketika sedang leka bermain judi di sebuah kedai kopi di Jalan Tamby Kecil, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata ketika serbuan pukul 2 petang itu, tujuh lelaki dan dua wanita yang kesemuanya berusia 44 hingga 70 tahun sedang berjudi di situ.
“Dalam serbuan itu polis nerampas pelbagai peralatan untuk berjudi antaranya dadu, buah mahjong dan cip beraneka warna serta wang tunai sebanyak RM4,178 di atas meja pertaruhan,” katanya di sini hari ini.
Katanya berdasarkan siasatan, kedai kopi itu menjadi tumpuan kaki judi sejak Jumaat lalu, iaitu ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan polis kini sedang mengesan pemilik premis tersebut untuk siasatan lanjut, kerana difahamkan lelaki itu menganjurkannya dengan bayaran RM100 bagi 20 kali berjudi.
Noorzainy berkata dalam serbuan itu, polis turut mengeluarkan kompaun ke atas dua wanita dan seorang lelaki kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard SOP yang ditetapkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
-- BERNAMA
#perintah kawalan pergerakan #PKP #bermain judi #berjudi #Seberang Perai #polis #Noorzainy Mohd Noor
;