Sembilan tahun berlalu, Dewan Rakyat beri penghormatan kepada wira insiden Lahad Datu
Ridauddin Daud
Mac 7, 2022 12:09 MYT
Mac 7, 2022 12:09 MYT
KUALA LUMPUR: Sembilan tahun sudah berlalu, namun, insiden pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, Sabah kekal tertulis sebagai sejarah hitam negara dan tidak mungkin dapat dilupakan.
Insiden pada Februari dan Mac tahun 2013 itu turut mengorbankan lapan petugas keselamatan negara.
Justeru, Dewan Rakyat pada Isnin memberikan penghormatan kepada semua wira negara itu yang disuarakan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
“Sebelum saya menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Padang Serai (M Karupaiya), saya ingin mengajak semua ahli Dewan Yang Mulia ini untuk mengingati peristiwa pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, Sabah genap sembilan tahun yang lalu.
“Semoga nama-nama pahlawan negara daripada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang terkorban dalam melaksanakan Op Daulat pada Mac 2013 di Lahad Datu, Sabah akan sentiasa dicucuri rahmat dan segar terpahat dalam sejarah tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat sebelum menjawab soalan daripada M Karupaiya (PH - Padang Serai) yang bertanyakan berhubung penyelarasan pencen veteran ATM di antara pencen sebelum tahun 2012 dan selepas tahun 2012.
Kisah hitam pada 2013 itu mengorbankan dua anggota polis VAT 69 maut dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas yang tercetus di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013.
Manakala enam anggota cawangan khas mati diserang hendap ketika operasi di Kampung Srijaya, Simunul, Semporna, keesokan harinya.
Kejadian berpunca daripada pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada awal Februari 2013 yang memaksa pasukan keselamatan melancarkan Ops Sulu bagi meminta mereka keluar disusuli Ops Daulat bermula pada 5 Mac tahun berkenaan.