Sembilan siri latihan polis bantuan dirancang tahun depan

Bernama
Disember 13, 2024 04:45 MYT
Wan Hassan berkata, kuota polis bantuan diberikan mengikut saiz syarikat atau agensi berkenaan. - Gambar FB/JPJKK Kontinjen Sabah
KOTA KINABALU: Sebanyak sembilan siri latihan polis bantuan dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun hadapan berikutan permintaan yang semakin meningkat, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan latihan dengan lebih kerap susulan permintaan daripada pelbagai agensi yang mahu melatih polis bantuan kerana pasukan berkenaan mempunyai kuasa-kuasa seperti polis berbanding pengawal keselamatan biasa tidak beruniform.
"Kita tahu banyak permintaan daripada setiap agensi kerana polis bantuan ini dilihat lebih berkesan dan lebih dihormati oleh pekerja sekali gus memastikan keselamatan di kawasan berkenaan menjadi ketat dan selamat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2024 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Jumaat.
Sebanyak 193 anggota polis bantuan daripada 23 agensi yang menamatkan program latihan asas polis selama dua bulan menyertai upacara perbarisan itu.
Wan Hassan berkata, kuota polis bantuan diberikan mengikut saiz syarikat atau agensi berkenaan.
"Kita memang banyak permintaan... ia bergantung kepada kekosongan pusat latihan yang ada namun kita percaya dalam tempoh tiga tahun kita boleh penuhi permintaan daripada setiap agensi berkenaan.
"Untuk memastikan pengambilan polis bantuan ini tidak berlaku pembaziran, kita perlu melaksanakan tapisan secara teliti dan memastikan setiap individu yang memohon melepasi tapisan keselamatan dan tiada rekod jenayah lampau," katanya.
Sementara itu, Wan Hassan berkata, untuk memastikan polis bantuan terus cemerlang dan disegani, pihaknya akan turun padang untuk memantau dan melaksanakan audit antaranya dari segi tatalaku dan disiplin. - BERNAMA
#PDRM #rekod jenayah lampau #pusat latihan #pengawal keselamatan
;