Sembilan sekeluarga berdepan detik cemas, lori tiga tan rempuh rumah

Abdul Hafiz Mustadi
Ogos 3, 2022 13:48 MYT
Bagaimanapun, seorang kelindan lori mengalami cedera parah manakala pemandu hanya mengalami cedera ringan.
TUARAN: Sembilan sekeluarga mengalami detik cemas apabila rumah mereka di Kampung Kapa, Tamparuli dirempuh sebuah lori 3 tan pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kirajam 7.40 pagi itu, kesemua sembilan sekeluarga yang berusia lingkungan 19 hingga 82 tahun berada di dalam rumah itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, seorang kelindan lori mengalami cedera parah manakala pemandu hanya mengalami cedera ringan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 7.48 pagi.
Seramai 18 orang anggota Bomba dan Penyelamat Tuaran dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
"Sebuah lori 3 tan terbabas sendiri dan melanggar sebuah rumah (90% kerosakan) di tepi jalan lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam 500 meter.
"Dua orang mangsa mengalami kecederaan di dalam kenderaan lori. Sembilan sekeluarga di dalam rumah tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan", menurut kenyataan dikeluarkan itu.
Kedua-dua mangsa pemandu dan kelindan lori diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.
Operasi menyelamat kemudian ditamatkan pada pukul 9.50 pagi.
#lori rempuh rumah #Kampung Kapa #lori tiga tan terbabas #Tamparuli
;