Sembilan rumah terjejas banjir, 35 mangsa dipindahkan
Sinar Harian
Mac 18, 2022 10:00 MYT
Mac 18, 2022 10:00 MYT
BATANG KALI: Sembilan buah rumah di Kampung Genting Malik, di sini terjejas akibat banjir setinggi 0.9 meter ekoran limpahan air dari sungai berhampiran ketika hujan lebat pada malam Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, satu panggilan kecemasan diterima pada jam 10.10 malam berkenaan kejadian tersebut.
Menurutnya, seramai tujuh orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi kejadian pada jam 10.20 malam untuk misi menyelamat mangsa-mangsa tersebut.
"Semua 35 mangsa termasuk warga emas lelaki berumur dalam lingkungan 60 tahun yang menghidap penyakit buah pinggang selamat dipindahkan sebelum paras air meningkat.
"Paras air sungai mencapai paras bahaya ketika hujan renyai, namun mulai surut sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam," katanya dalam satu laporan pada Khamis.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.