Kebakaran itu melibatkan masing-masing empat buah rumah dan rumah kedai di samping sebuah kedai.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 8.01 malam.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran deretan kedai serta rumah kediaman,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Menurut jurucakap itu, antara kedai yang terbakar adalah restoran, kedai besi, kedai membaiki jentera berat dan kedai membaiki kusyen kereta.
Katanya, seramai 38 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Pengkalan Hulu, Lenggong dan Kuala Kangsar terlibat dalam operasi pemadaman dengan dibantu oleh anggota agensi lain seperti polis, Rela, Kementerian Kesihatan dan Tenaga Nasional Berhad.
“Anggota menggunakan dua aliran dua pancutan air dari tangki jentera serta dari pili bomba dan kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 9.22 malam,” ujarnya.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Azizan Aziz tamat pada 1.20 pagi.