Sembilan produk kosmetik ini dikesan mengandungi merkuri, hydroquinone - Dr Noor Hisham

Bernama
Julai 15, 2020 16:42 MYT
Dr Noor Hisham menyarankan kepada orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik tersebut agar segera menghentikan penggunaannya. - Gambar fail
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan sembilan produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual termasuk merkuri dan hydroquinone.
Produk berkenaan adalah Deeja Cosmetics Laika Cream (merkuri), Dejaa Cosmetics Zulai Cream (hydroquinone), Deeja Cosmetics Yus Cream (hydroquinone), dan Dnars Luvee Cream (Normal & Sensitif) (hydroquinone).
Lima lagi produk kosmetik adalah Dnars Gold Lifthing Serum (Night) (merkuri), Sparkle Beauty Cream (hydroquinone, tretinoin & betamethasone 17-valerate), Sparkle Sun Day Cream (merkuri), Qeziger Age-locking Recharging Spot A.M Cream (merkuri) dan MS Skinz Night Cream (merkuri).
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata KKM melalui Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi telah membatalkan notifikasi sembilan produk terbabit dan susulan itu, semua produk berkenaan tidak dibenarkan dijual di negara ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
"Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini," katanya.
Justeru, penjual dan pengedar produk kosmetik terlibat perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahanpertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya".
Dr Noor Hisham menyarankan kepada orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik tersebut agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
-- BERNAMA
#hydroquinone #kandungan #kesihatan #Ketua Pengarah Kesihatan #merkuri #Noor Hisham Abdullah #produk kosmetik #racun berjadual
;