Sembilan premis judi, pelacuran dipotong bekalan elektrik
Bernama
Disember 6, 2022 04:40 MYT
Disember 6, 2022 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Bekalan elektrik di sembilan buah premis disyaki menjalankan kegiatan pelacuran dan perjudian di sekitar Daerah Sentul dipotong.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pemotongan elektrik itu dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad susulan beberapa siri serbuan sepanjang tahun ini melibatkan 19 premis pelacuran dan 20 premis perjudian.
"Kebanyakan premis yang diserbu adalah rumah kedai yang disewa oleh sindiket pelacuran dan perjudian bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
Hasil dari serbuan yang telah dilakukan, sebanyak tujuh buah premis telah dipotong bekalan elektrik pada 2 Mac lepas manakala dua buah premis lagi yang terletak di Taman Usahawan dan di Taman Sri Sinar, Kepong, di sini, telah dipotong bekalan elektrik pada Selasai, 12 tengah hari tadi," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata operasi pemotongan bekalan eletrik akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah untuk mengurangkan kegiatan pelacuran dan perjudian di daerah ini.
"Tindakan pemotongan bekalan elektrik di premis ini dibuat selaras mengikut Peruntukan Akta Bekalan Elektrik 1990. Pihak polis mengambil berat terhadap permasalahan ini dan akan terus melakukan pemantauan dalam usaha mengekang kegiatan pelacuran dan perjudian," katanya.
Beh berkata tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar undang-undang dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan ini disaran untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206.
-- BERNAMA