Sembilan pendaki cuba tawan Puncak Gondorogo-La sempena Merdeka

Bernama
Ogos 22, 2017 14:09 MYT
Mas Ermieyati (tengah) bersama para peserta Ekspedisi Hari Merdeka yang akan mendaki Kem Induk Gunung K2 dan Puncak Gondorogo-La di Skardu semasa majlis pelepasan dan penyerahan Jalur Gemilang di KLIA hari ini. -- fotoBERNAMA
Sembilan pendaki Malaysia berlepas ke Skardu, Pakistan hari ini bagi melaksanakan ekspedisi pendakian Gunung K2 dan Puncak Gondorogo-La sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60.
Dikenali sebagai 'XPDC Merdeka Day', ekspedisi selama 17 hari sehingga 17 September itu dilepaskan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.
Diketuai oleh Nor Afende Aminudin, XPDC Merdeka Day turut disertai Haifz Ithnin; Zuraila Abd Jalal; Mohd Izzat Mohd Zin; Muhammad Azham Ab Hamid; Maznah Baba; Khairul Nizam Minhat; Muhammad Eddy Muhammadin dan Muhammad Hakim Mat Daud.
Peserta ekspedisi akan membawa Jalur Gemilang untuk mendaki ke Kem Induk Gunung K2 dan Puncak Gondorogo-La, yang masing-masing berketinggian 5,650 meter dan 5,585 meter dari aras laut, sebelum mengibarkannya di puncak pada malam kemerdekaan.
Mas Ermieyati berkata ekspedisi anjuran Malaysia Backpakers (MBP) itu juga akan melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial dengan memberi sumbangan peralatan sekolah kepada sebuah sekolah di kawasan Skardu, bertujuan menyokong aktiviti pendidikan dalam kalangan murid-murid di kawasan pergunungan.
Beliau berkata ekspedisi itu juga menggambarkan 'kemerdekaan' rakyat Malaysia yang mampu merentasi negara ke negara asing untuk aktiviti sukan lasak, khasnya pendakian gunung.
"Aktiviti tanggungjawab sosial yang bakal mereka lakukan juga suatu yang positif kerana mampu mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan yang tahun ini menyambut ulang tahun ke-52 hubungan diplomatik," katanya.
-- BERNAMA
#ekspedisi #Gunung K2 #hari kemerdekaan #mendaki #Pakistan #Puncak Gondorogo-La #XPDC Merdeka Day
;