Sembilan orang utan Sumatera direpatriasi ke Indonesia
Bernama
Disember 17, 2020 04:30 MYT
Disember 17, 2020 04:30 MYT
PUTRAJAYA: Sembilan ekor orang utan Sumatera (Pongo abelii) daripada hasil rampasan aktiviti penguatkuasaan perdagangan haram hidupan liar di Semenanjung Malaysia, direpatriasi ke Jakarta, Indonesia semalam.
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata proses repatriasi itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (KLHK) Indonesia.
"Penghantaran pulang orang utan Sumatera itu adalah obligasi negara di bawah peruntukan Artikel VIII, Teks Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686]," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata tujuh daripada orang utan Sumatera itu dirampas dalam tiga kes pada 2018 dan 2019 oleh Perhilitan, polis Marin dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, yang diseludup masuk melalui jalan laut, manakala dua ekor lagi diserahkan kepada Perhilitan melalui aduan orang awam pada 2018.
Kesemua orang utan Sumatera itu ditempatkan di bawah jagaan Perhilitan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak, katanya.
"Hasil ujian deoksiribonukleik (DNA) oleh Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan Jabatan Perhilitan mengesahkan orang utan itu adalah daripada spesies Pongo abelii dan sehubungan itu, kerajaan Indonesia telah bersetuju untuk menerima repatriasi orang utan itu ke Indonesia," katanya.
"Inisiatif kerajaan Malaysia dalam memelihara kesemua orang utan ini dan mengembalikannya kepada negara asal membuktikan komitmen tinggi pihak kerajaan dalam menjaga kebajikan hidupan liar yang diseludup," tambahnya.
Shamsul Anuar berkata orang utan adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan turut disenaraikan di bawah Apendiks I dalam Akta 686 yang mana spesies itu tidak boleh diperdagangkan, sama ada diimport atau dieksport bagi tujuan komersial.
Mengenai kes perdagangan haram orang utan, beliau berkata ia melibatkan dua warga tempatan dan enam warganegara Indonesia dan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dengan satu kes telah selesai proses penghakiman.
"Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia dalam isu membanteras perdagangan haram dan kebajikan hidupan liar akan terus dipertingkatkan untuk memastikan kelestarian fauna khususnya spesies endemik seperti orang utan," katanya.
-- BERNAMA
#Orang Utan
#Akta Pemuliharaan Hidupan Liar
#Shamsul Anuar Nasarah
#repatriasi
#Indonesia
#perdagangan haram
#hidupan liar
#penghantaran pulang
#rampas
#seludup
#Sungkai
#aduan
#jalan laut
#NWRC