Sembilan notis dikeluarkan MBSA kepada taman tema terkenal
Bernama
Januari 31, 2025 22:15 MYT
Januari 31, 2025 22:15 MYT
SHAH ALAM: Sembilan notis telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap sebuah taman tema terkenal di bandar raya itu yang terkait dengan insiden seorang pengunjung cedera tertimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh pada Rabu lepas.
Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA dalam kenyataan memaklumkan ini termasuk tiga notis amaran pada 14 Nov 2024 dan satu notis amaran pada 19 Jan lepas.
Menurut kenyataan itu notis amaran yang dikeluarkan pada 19 Jan ialah untuk menghentikan segera aktiviti hiburan (gelongsor air kaca) di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat- tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 Seksyen 6 (1)(a).
"Walaupun notis telah dikeluarkan, pemantauan semula mendapati pihak pengurusan masih meneruskan aktiviti hiburan tersebut tanpa kelulusan bertulis dan ingkar terhadap arahan yang dikeluarkan.
"Oleh itu, semalam (30 Jan) pihak majlis telah mengeluarkan notis kompaun ingkar arahan di bawah Seksyen 121 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kegagalan pihak pengurusan mematuhi kehendak notis yang telah diberikan," menurut kenyataan itu.
MBSA menegaskan setiap projek pembangunan dan operasi taman tema di Shah Alam perlu mematuhi peraturan serta prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
"Ini termasuk keperluan untuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada MBSA sebelum sebarang aktiviti atau pembinaan dijalankan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan pihak MBSA turut kesal terhadap insiden pelampung jatuh dan menimpa pengunjung di taman tema tersebut yang tular di media sosial.
"MBSA ingin menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan utama dan komited untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang ketat.
"Sehubungan itu, MBSA akan terus memantau situasi ini dengan lebih teliti dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan," menurut kenyataan itu.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan seorang pengunjung cedera tertimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh di sebuah taman tema di Seksyen 7 di sini, kira-kira 11 malam pada 29 Jan lepas.
-- BERNAMA