Sembilan lembu mati bergelimpangan dirempuh kenderaan di LPT2
Astro Awani
Januari 23, 2021 14:52 MYT
Januari 23, 2021 14:52 MYT
KEMAMAN: Sembilan ekor lembu mati bergelimpangan selepas dirempuh dua buah kenderaan di Kilometer 291.1, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kemaman pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan ramlan, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam.
Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.
Bagaimanapun setibanya di lokasi, kenderaan dipandu mangsa gagal mengelak sekumpulan lembu yang berada di tengah lebuh raya berkenaan sebelum melanggar beberapa ekor lembu terbabit.
Akibat rempuhan, kedua-dua kenderaan jenis Proton Saga dan Volvo terbabit remuk di bahagian hadapan.
Bagaimanapun, mangsa yang juga pemandu masing-masing berusia 28 dan 46 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.